My Add

Tuesday 11 December 2012

Mindef tambah lima pusat pemulihan banduan

KUALA LUMPUR, SELASA, 11 Disember, 2012: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan membina lima lagi pusat tahanan dan pemulihan banduan untuk pesalah ringan bernilai RM12.5 juta mulai tahun depan sebagai antara langkah di bawah Strategi Lautan Biru dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penambahan pusat itu dilakukan berikutan hasil pemulihan banduan yang dilakukan oleh tentera di lima kem sebelum ini didapati berkesan.

Beliau berkata, strategi itu dijalankan untuk banduan menjalani hukuman penjara tiga bulan dan menurut KDN daripada 2,400 banduan, yang telah menjalani pemulihan itu, tiada seorang pun kembali melakukan jenayah mahupun ditangkap.

Katanya, pertambahan lima pusat pemulihan itu, yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan untuk memuatkan 3,000 banduan baharu, bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di penjara.

"Untuk membina sebuah penjara sebanyak RM650 juta diperlukan tetapi untuk lima pusat tahanan ini kosnya hanya RM12.5 juta,” katanya ketika berucap pada Malam Apresiasi Media Mindef 2012, di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata, antara pengisian yang disediakan dalam pusat tahanan itu ialah memberikan latihan asas pertanian, perikanan dan juga beberapa latihan asas yang lain.

Beliau berkata, mereka juga menerima bayaran daripada hasil kerja diusahakan dengan setiap seorang menerima RM3,000, yang disimpan di dalam akaun Affin Bank iaitu anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dan diserahkan apabila mereka tamat sesi pemulihan. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment