My Add

Sunday 16 December 2012

Perkasa bai'ah bantu BN menang dua pertiga

KUALA LUMPUR, SABTU, 15 Disember, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini berbaiah atau berikrar membantu Barisan Nasional (BN) mendapatkan kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang demi mengukuhkan kerajaan sedia ada seterusnya menjamin kelangsungan bangsa dan negara.

Ikrar itu dilafazkan kira-kira 10,000 ahli Perkasa diketuai Presidennya, Datuk Ibrahim Ali dalam Perhimpunan Agung Ketiga pertubuhan tersebut di Padang Astaka Taman Tasik Titiwangsa, di sini hari ini.

Ibrahim berkata, menjelang pilihan raya umum kelak, kira-kira 352,000 ahli Perkasa di seluruh negara akan memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada semua calon BN termasuk daripada parti komponen MCA dan MIC.

“Kita sokong semua calon BN untuk pilihan raya akan datang. Kita tidak sokong individu, kita sokong atas nama parti BN. Tidak kisah jika mereka calon MCA mahupun, MIC yang penting gabungan BN akan menjamin kestabilan agama, bangsa dan negara.

“Kita berikrar hari ini demi bangsa dan negara, kita tidak akan berpecah-belah, kita tidak akan mempunyai perasaan iri hati, kita tidak akan menjadi pengkhianat, tetapi kita akan bersama-sama membantu BN menang dua pertiga," katanya ketika berucap dalam perhimpunan itu.

Ibrahim berkata, rakyat terutama orang Melayu perlu memberi peluang kepada BN menerajui negara kerana parti itu yang dipimpin UMNO telah terbukti berjaya mewujudkan kesejahteraan dan keadilan untuk semua kaum sejak merdeka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment