66,243 ibu tunggal terima bantuan JKM sehingga Jun
KUALA LUMPUR, RABU, 06 November, 2013: Seramai 66,243 ibu tunggal yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdaftar dengan jabatan itu sehingga Jun lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, 831,860 wanita iaitu 2.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia adalah balu atau telah bercerai atau berpisah tetap.
Beliau berkata, selain itu, 160,070 orang warga emas berumur lebih 60 tahun dan 464,967 orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara telah didaftarkan di bawah JKM sehingga Mei lepas.
"Bilangan warga emas yang berumur lebih 60 tahun adalah 2.4 juta orang atau 8.2 peratus daripada 29.34 juta penduduk Malaysia tahun lepas," katanya menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) pada sesi soal jawab di Parlimen di sini hari ini.
Zuraida ingin tahu bilangan ibu tunggal, OKU dan warga emas di seluruh negara, termasuk mereka yang berdaftar dan tidak berdaftar dengan JKM. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment