My Add

Friday, 8 November 2013

DUN Pulau Pinang paling tidak demokratik

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 November, 2013: Seorang penyokong kerajaan hari ini menyelar pihak pembangkang yang mendakwa Parlimen di negara ini tidak demokratik.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang paling tidak demokratik kerana menafikan hak wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk bertanya dalam sesi soal jawab lisan.

''Bagaimana Padang Serai (N. Surendran (PKR) kata Parlimen ini tidak demokratik, saban hari kita dengar semua benda dikritik di sini. Saya hendak beritahu DUN Pulau Pinang paling tidak demokratik.

''Sesi soal jawab lisan iaitu benda paling asas itu pun dinafikan oleh pihak kepimpinan DAP Pulau Pinang untuk wakil-wakil rakyat BN bertanya sebagai mewakili rakyat. Bukankah ini paling-paling tidak demokratik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 dalam Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan lain, Reezal Merican turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk memberi pelepasan cukai kepada bonus tahunan yang diterima oleh golongan pekerja.

''Ini kerana ramai pekerja di bandar yang berada dalam golongan pertengahan dengan gaji antara RM5,000 dan RM8,000 ini tidak layak mendapat bantuan dan pembelaan daripada kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

''Mereka tak ada pendapatan lain. Yang mensejahterakan hati mereka ialah bonus pada hujung tahun. Malangnya dalam amalan kita, bonus adalah pendapatan yang dikenakan cukai," katanya.

Mengambil contoh pekerja bank, katanya, jika mereka diberi bonus sebanyak empat bulan, namun pada penyata gaji, sekurang-kurangnya satu bulan akan dipotong untuk membayar cukai pendapatan.

Selain itu, dalam perbahasannya, beliau turut meminta Petronas lebih mengutamakan bakat-bakat tempatan untuk memegang jawatan tertinggi di dalam syarikat tersebut serta anak-anak syarikat yang lain.

''Kita sebenarnya mempunyai ramai anak-anak tempatan yang mempunyai kemahiran cukup tinggi yang sepatutnya boleh digunakan sepenuhnya bakat-bakat mereka ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment