My Add

Friday, 8 November 2013

Johor bakal jadi pusat pelancongan kesihatan - Menteri Besar

KUALA LUMPUR, RABU, 06 November, 2013: Johor akan menjadikan negeri tersebut sebagai pusat pelancongan kesihatan yang berpotensi sebagai pemangkin kepada industri pelancongan kesihatan negara.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri misalnya, memberi sokongan penuh kepada KPJ Healthcare Berhad (KPJ) yang akan membuka tiga lagi hospital milik syarikat itu di Johor.

"Kita mendapati ramai pelancong sama ada domestik mahupun luar negara terutama dari Indonesia memilih hospital di negeri ini sebagai pusat penjagaan kesihatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan dan Pameran KPJ Helathcare ke-12 di sini hari ini.

Persidangan itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini berjaya menarik sebanyak 500 pempamer dari sektor kesihatan dari dalam dan luar negara.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi Johor Corporation (JCorp), Zulkifli Ibrahim.

Terdahulu, Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, persidangan itu menjadi platform kepada para penggiat industri mengumpul idea bagi memajukan sektor kesihatan menerusi penekanan terhadap keselamatan pesakit.

Sementara itu, Pengarah Urusan KPJ, Amiruddin Abdul Satar berkata, tiga hospital berkenaan yang akan siap dibina pada 2015 bakal memuatkan kira-kira 450 katil sekali gus menjadikan KPJ seluruh Johor mempunyai lebih 900 katil.

Menurut beliau, selain penambahan tiga hospital di negeri berkenaan, KPJ akan membuka tujuh lagi hospital dalam tempoh lima tahun dari sekarang iaitu masing-masing dua buah di Lembah Klang dan Sarawak serta sebuah di Perlis, Pahang dan Sabah.

"Penambahan 10 hospital baharu KPJ itu nanti akan menambah sebanyak 1,500 katil lagi berbanding kini iaitu kira-kira 3,000 katil di 23 hospital di seluruh negara.

"Selain penambahan katil, pembukaan 10 buah hospital itu juga akan membuka lebih 500 peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment