Akta baharu ganti Akta Kebankrapan 1967
KUALA LUMPUR, RABU, 06 November, 2013: Akta baharu bagi menggantikan Akta Kebankrapan 1967 yang akan memberi pelepasan automatik kepada golongan muflis selepas sesuatu tempoh tertentu dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, draf undang-undang itu telah dibawa kepada Jabatan Peguam Negara tetapi mengambil sedikit masa untuk diputuskan tempoh masa yang perlu diberikan sebelum pelepasan secara automatik diberi kepada golongan muflis.
"Akta Kebankrapan 1967 sudah terlalu lama dan akan digantikan dengan akta baharu yang antara kandungannya meliputi pelepasan secara automatik.
"Walau bagaimanapun, keputusan masih belum dibuat mengenai tempoh masa yang perlu diberikan sebelum pelepasan tersebut sama ada tiga atau lima tahun, itu kita masih belum putuskan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nancy mengulas pindaan Akta Kebankrapan 1967 bagi memudahkan individu yang diisytihar bankrap mendapat pelepasan kebankrapan.
Mengulas lanjut, Nancy memberitahu, menerusi akta baharu itu kerajaan mahu memberi peluang kedua kepada golongan yang telah diisytihar muflis.
"Kerajaan mahu golongan itu tampil dan mampu menyelesaikan masalah hutang mereka," katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada akta sama pernah dipraktikkan di negara-negara lain, Nancy mengakui terdapat beberapa negara yang mengamalkannya.
"Ada negara lain yang laksanakan, ada penanda arasnya," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment