My Add

Friday, 8 November 2013

Karpal tidak faham aspirasi Malaysia - Noor Ehsanuddin

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 November, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh ditempelak kerana tidak memahami aspirasi masyarakat di Malaysia yang ditubuhkan atas kesepaduan pelbagai kaum sejak zaman menuntut kemerdekaan lagi.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid (gambar) berkata, kenyataan Karpal yang menyarankan supaya parti politik serta pertubuhan profesional berasaskan kaum serta agama dibatalkan pendaftaran adalah bercanggah dengan aspirasi rakyat Malaysia.

Katanya, setiap parti yang berasaskan kaum di negara ini membawa suara masing-masing, supaya kerajaan memerintah mendengar permintaan mereka.

"Misalnya UMNO membawa aspirasi orang Melayu, MIC aspirasinya orang India dan MCA pula orang Cina. Ini semua merupakan kekuatan pembinaan negara Malaysia sejak zaman kemerdekaan lagi. Ini soal aspirasi, bukannya perkauman.

"Selama ini kita hidup berbilang kaum, pelbagai agama, tiada masalah besar, hanya sekali sahaja iaitu pada 1969 tetapi dapat ditangani oleh kerajaan dengan bijaksana. Mengapa Karpal menimbulkan perkara ini? Adakah beliau ada niat tidak baik?" katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas mengenai saranan Karpal supaya semua parti politik serta pertubuhan profesional berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftarannya kerana beranggapan perkara itu berbahaya kepada Malaysia.

Dalam pada itu, Noor Ehsanuddin berkata, selama ini Pas memberi 'kelebihan' kepada DAP sehingga sanggup membenarkan pemimpin parti itu masuk ke dalam surau dan memetik hadis atau ayat al-Quran semasa berceramah tetapi 'ditikam' dari belakang.

"Adakah pemimpin Pas masih tidak nampak? Mereka tidak dihargai oleh DAP.

"Pas sepatutnya berasa malu sekarang kerana mereka telah dikhianati oleh DAP," jelas beliau.  - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment