My Add

Wednesday 27 November 2013

Krisis politik Thai meruncing


 * Penunjuk perasaan antikerajaan membawa sepanduk gambar Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra semasa menyertai demonstrasi di Kementerian Kewangan, di Bangkok, semalam. - AFP
BANGKOK, SELASA, 26 November, 2013: Krisis politik di Thailand semakin meruncing apabila penunjuk perasaan antikerajaan mengepung beberapa lagi bangunan kementerian, di sini hari ini, sehari selepas bangunan Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar 'ditawan'.

Kumpulan penunjuk perasaan mengepung bangunan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertanian, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelancongan dan Sukan, dengan mengarahkan penjawat awam yang bertugas meninggalkan bangunan-bangunan terbabit.

Menteri Pelancongan dan Sukan, Somsak Pureesrisak berkata, kakitangan di kementeriannya terpaksa keluar dari bangunan kementerian itu selepas penunjuk perasaan mengancam akan memotong bekalan air dan elektrik.

Menurut laporan wartawan AFP, penunjuk perasaan turut memberi masa sejam kepada kakitangan Kementerian Dalam Negeri agar meninggalkan bangunan kementerian terbabit.

Tindakan kumpulan antikerajaan itu, sekali gus melanggar perintah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikuatkuasakan di bandar ini dan beberapa wilayah lain seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra, semalam.

Di bawah undang-undang ISA, pihak berkuasa akan menutup jalan dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang unsur-unsur yang boleh mengancam keselamatan negara.

Selain itu, pihak berkuasa menguatkuasakan perintah berkurung dan melarang penggunaan alat elektronik di kawasan yang diletakkan di bawah ISA.

Bagaimanapun, bantahan yang diadakan secara aman dibenarkan semasa ISA dikuatkuasakan.

Kira-kira 440,000 penunjuk perasaan antikerajaan mengadakan bantahan besar-besaran bermula semalam bagi menggulingkan kerajaan pimpinan Yingluck yang cuba membawa pulang bekas Perdana Menteri yang juga abangnya, Thaksin Shinawatra yang kini hidup dalam pelarian selepas digulingkan pada 2006.

Yingluck dalam pada itu mengulangi janjinya tidak akan menggunakan kekerasan dalam menangani krisis politik terbabit ketika beliau tiba di Parlimen untuk menghadiri perbahasan usul tidak percaya ke atasnya yang berlangsung hari ini dan esok.

Sementara itu, Mahkamah Jenayah Thailand meluluskan waran tangkap ke atas ketua penganjur bantahan, Suthep Thaugsuban atas tuduhan menceroboh bangunan kerajaan.

Pegawai polis, Kolonel Sunthorn Kongklam berkata, Thaugsuban diminta menyerah diri atau pihak polis akan menahan beliau dengan serta-merta.

Sementara itu, Yingluck hari ini mengumumkan perintah ISA diperluaskan ke seluruh kota Bangkok, wilayah Nontaburi dan daerah Banglee di wilayah Samutprakarn yang bersempadan dengan Bangkok.

Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi terletak di daerah Banglee dan langkah menguatkuasakan ISA itu dilihat untuk menghalang penunjuk perasaan menduduki kawasan berkenaan.

Sebelum pengumuman itu, ISA telah dikuatkuasakan di tiga daerah Bangkok - Phra Nakhon, Dusit dan Pomprap Sattruphai.

Perluasan ISA itu berkuatkuasa, hari ini sehingga 31 Disember ini

Terdahulu, Yingluck menegaskan beliau tidak akan membubarkan Parlimen atau meletak jawatan sebagaimana didesak oleh penunjuk perasaan dan sedia berdepan dengan perbahasan usul tidak percaya yang berlangsung hari ini dan esok. - AFP/BERNAMA/AGENSI/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment