My Add

Wednesday 27 November 2013

PKR Sabah hampir lumpuh

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

 * NAJIB Tun Razak bersama Musa Aman ketika mengumumkan keputusan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah keluar parti dan menyokong Barisan Nasional di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 26 November, 2013: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah hampir lumpuh selepas para pemimpin utama daripada 11 cabang parti di negeri itu mengisytiharkan keluar parti sekali gus menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka membuat keputusan itu kerana sudah hilang keyakinan terhadap kepemimpinan PKR dan seterusnya memberi kepercayaan kepada BN di peringkat nasional mahu pun negeri.

Katanya, sebelum ini, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu telah pun berbuat demikian iaitu ADUN Kadamaian, Jeremmy Malajad @ Malazad dan ADUN Matunggong, Datuk Jelani Hamdan pada 4 November lalu.

Beliau turut mengumumkan akan berlaku gelombang kedua ahli PKR dari negeri tersebut keluar parti dalam masa terdekat.

"Mereka merupakan pemimpin peringkat bahagian dan saya dimaklumkan oleh mereka sendiri, ramai penyokong parti itu akan turut serta keluar PKR dan menyokong BN.

"Saya juga ingin memaklumkan akan berlaku gelombang kedua iaitu ramai lagi pemimpin PKR Sabah bakal berbuat demikian, bererti PKR Sabah hampir lumpuh, sebaliknya BN kuat dan utuh serta semakin mendapat kepercayaan daripada rakyat Sabah," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian selepas pertemuan khas dengan pemimpin terlibat di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Pemimpin yang terlibat itu ialah Akhmain Sabtu (Kudat); Anthony Mandiau (Kota Marudu); Juhani Abd. Halim (Silam); Mohd. Jun (Kalabakan); Mustapha Tambuyung (Kinabatangan) dan Lokman Ureh (Semporna).

Selain mereka ialah Angki Addek (Timbalan Ketua Cabang Kota Marudu); Soloh Yuna (Ketua Penerangan Kota Belud); Timothy Lim (Sepanggar); Apandy Sipin (Pensiangan) dan Aris Remigius (Batu Sapi). Wakil Beluran bagaimanapun tidak hadir.

Dua lagi yang turut sama mengisytiharkan keluar parti pada majlis itu ialah bekas Ahli Parlimen Bandau, Henry Madatang dan calon PKR Papar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Jomi Kamadan.

Dalam pada itu, Najib menafikan dakwaan tindakan keluar parti itu dipengaruhi oleh BN memandangkan mereka membuat keputusan tersebut ekoran tiada lagi kepercayaan kepada PKR.

"Tidak mungkin BN mempengaruhi mereka sebab mereka sudah hilang kepercayaan, itu pokoknya," katanya.

Ditanya sama ada PKR akan terus lumpuh dengan perkembangan semasa itu walaupun cuba membentuk semula kedudukan parti, beliau yakin kekuatan parti itu terletak pada pemimpin berkenaan termasuk mereka yang bakal keluar parti dan menyokong BN. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment