My Add

Thursday, 7 November 2013

Malaysia komited bantu UNESCO

Oleh Nor Aziah Jaafar

* MUHYIDDIN Yassin (kiri) ketika menghadiri majlis pembukaan 'General Policy Debate: Leaders Forum' sempena Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-37 di Paris, semalam. - BERNAMA
PARIS, RABU, 06 November, 2013: Malaysia menyatakan komitmen untuk membantu negara-negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mencapai agenda Pendidikan Untuk Semua (EFA) dan Matlamat Pembangunan Milenium (MDG).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana Malaysia sudah mencapai sasaran itu lebih awal dari tempoh yang ditetapkan pada 2015.

Menurut beliau, antara sasaran yang berjaya dicapai Malaysia adalah meningkatkan jumlah pengambilan murid di peringkat sekolah rendah dan menghapuskan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat.

Katanya, usaha kerajaan menyediakan infrastruktur dan akses pendidikan kepada masyarakat luar bandar adalah penyumbang besar kepada kejayaan itu.

“Bagi mengiktiraf kejayaan ini, Malaysia baru-baru ini menerima Anugerah MDG daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya berucap pada Leaders Forum sempena Persidangan Agung UNESCO Ke-37 di sini hari ini.

Tambah Muhyiddin, cabaran Malaysia sekarang adalah untuk memastikan pencapaian itu terus memenuhi keperluan pembangunan dan standard yang sentiasa berubah.

Ini kerana jelasnya, Malaysia percaya agenda EFA tidak seharusnya hanya dilihat dapat dilaksana, malah terbukti terlaksana untuk manfaat masyarakat yang memerlukan.

“Kita sentiasa bersedia membantu negara-negara anggota yang lain untuk mencapai objektif nasional mereka.

“Tidak dinafikan cabaran kita sekarang adalah untuk memastikan pencapaian yang diperoleh dapat terus dipertahan pada pasca 2015 dengan menyediakan kerangka pembangunan yang bersesuaian dan jelas seperti yang digariskan UNESCO," katanya.

Menurut Muhyiddin, data dikeluarkan oleh Institut Statistik UNESCO (UIS) menunjukkan 57 juta kanak-kanak usia sekolah rendah dan 69 juta lagi pelajar sekolah menengah rendah tidak mendapat pendidikan asas.

Beliau berkata, 250 juta kanak-kanak lagi buta huruf dan tidak mendapat kemahiran asas persekolahan walaupun sudah bersekolah selama empat tahun.

Berdasarkan statistik itu juga jelasnya, lebih 84 peratus golongan dewasa di seluruh dunia celik huruf, namun kira-kira 774 juta masih buta huruf dengan dua pertiga daripadanya adalah golongan wanita.

Katanya, kebanyakan daripada golongan buta huruf itu berasal dari Asia Selatan dan Barat serta benua Afrika.

Sehubungan itu menurutnya, lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi mencapai sasaran tersebut, antaranya keperluan membina 3.5 juta sekolah menengah di seluruh dunia menjelang 2015 dan tambahan 1.6 juta guru. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment