My Add

Thursday, 7 November 2013

Jangan dwi standard, bertegas ke atas Tony Pua

KUALA LUMPUR, RABU, 06 Noember, 2013:v. Kerajaan digesa berani mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai 'anjing UMNO' bagi membuktikan tidak mengamalkan sikap dwi standard.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, gesaan itu dibuat ekoran tiada tindakan tegas termasuk mendakwa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkenaan atas kenyataan tersebut yang dilihat boleh menghasut orang ramai.

"Kita sudah dengar banyak kecaman, malah laporan polis juga telah dibuat, namun tiada tindakan susulan dalam bentuk perundangan dibuat ke atas Tony Pua termasuk mengambil keterangannya.

"Adakah kerajaan mahu dianggap mengamal sikap dwi standard apabila tidak berani mengambil tindakan tegas ke atas sesetengah pihak khususnya individu daripada parti pembangkang?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tony Pua dalam laman Facebooknya pada 29 September lalu menggelar ROS sebagai 'anjing UMNO' berhubung isu pemilihan CEC DAP selepas parti DAP diarah menjalankan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.

Rentetan itu, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu NGO Negeri Selangor, Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (Irimm) dan Pertubuhan Gerakan Bersatu 69 (PGB69) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dekat sini, sekitar awal Oktober lalu.

Malah, Ketua Pengarah ROS, Mohammad Razin Abdullah pada 22 Oktober lalu juga telah menyerahkan kes tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menjalankan siasatan berhubung kenyataan biadab itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Maliki berkata, perkembangan kebelakangan ini memperlihatkan mereka yang berkepentingan dalam politik seolah-olah 'terlepas' daripada sebarang tindakan undang-undang.

"Seolah-olah diberi kelonggaran jika yang membuat kenyataan itu orang politik khususnya daripada parti pembangkang, tetapi jika orang yang tidak berkepentingan seperti saya melakukannya, tentu telah dipanggil polis untuk diambil keterangan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau melahirkan kebimbangan sekiranya tindakan tegas tidak diambil boleh melunturkan keyakinan rakyat terhadap perundangan negara.

"Jika kerajaan berterusan membiarkan pihak tertentu mencabar undang-undang, saya takut rakyat kecewa dan akhirnya akan membuat hukuman sendiri. Sekarang mereka masih bertindak rasional dengan membuat laporan polis atau demonstrasi aman," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment