My Add

Thursday, 7 November 2013

Malaysia mesti sediakan khidmat kewangan, komersial Islam terbaik - Rais

 * RAIS Yatim (dua dari kiri) berjabat tangan dengan sebahagian daripada peserta Persidangan Kewangan Islam Antarabangsa ASEAN Pertama di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM, Prof. Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera (kiri). - BERNAMA
KUALA LUMPUR, RABU, 06 November, 2013: Malaysia mestilah menyediakan perkhidmatan kewangan dan komersial Islam terbaik seluruhnya untuk meletakkan negara ini pada kedudukan sebagai hab perbankan dan kewangan Islam, kata Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, Malaysia mesti menarik kedua-dua segmen umat Islam dan bukan Islam kewangan global.

"Ini boleh dicapai dan dilaksanakan memandangkan pengalaman kita pada masa lalu, rangka kerja perundangan dan prasarana perniagaan serta hakikat bahawa kita kini berada di tahap tinggi dalam menjalankan perniagaan di seluruh dunia," katanya dalam ucaptama dalam Persidangan Kewangan Islam Antarabangsa ASEAN Pertama di sini hari ini.

Rais berkata, industri Kewangan Islam bernilai lebih daripada US$2 trilion (RM6 trilion) di peringkat global dan terus berkembang pada kadar kukuh 15 peratus setahun selain menarik lebih 75 buah negara untuk menyertainya.

"Dengan penonjolan khusus kepada sukuk atau bon Islam, industri ini telah menarik peminat yang semakin bertambah di negara-negara barat," tegas beliau.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Rais berkata, selagi mampu, UIAM akan terus menerapkan kepakaran sewajarnya yang diperlukan oleh negara untuk memacu Malaysia ke hadapan sebagai hab perbankan dan kewangan Islam.

"Ini boleh dicapai melalui proses-proses yang ada seperti mewujudkan sekumpulan pakar di dalam negara serta bekerjasama dengan pensyarah-pensyarah dari universiti-universiti lain," katanya.

Rais berkata, universiti itu akan bekerjasama dengan universiti-universiti terunggul d dunia untuk membawa pakar-pakar dan pensyarah-pensyarah terkemuka ke universiti itu agar perakuannya boleh difahami dan diiktiraf oleh dunia luar.

"Pusat perbankan Islam kita di sini akan menjadi sebuah institusi amali yang akan menghasilkan lebih banyak kepakaran yang kita perlukan dan diharapkan ini akan boleh kita capai dari sekarang hingga akhir tahun depan," kata Rais.

Dalam tempoh 30 tahun sejak penubuhannya, UIAM telah melahirkan lebih 200 graduan yang dilengkapi dengan aspek-aspek teori dan amali Kewangan Islam, ekonomi Islam, undang-undang Islam dan Pengajian Islam.

"Dalam perbankan dan kewangan, ada 160 ahli jawatankuasa syariah bank dan syarikat takaful yang terdiri daripada tenaga pengajar universiti ini.

"UIAM menyumbang lebih 25 peratus daripada kesemua ahli jawatankuasa syariah yang dilantik oleh bank dan syarikat takaful, dan angka ini akan ditambah dari semasa ke semasa," jelas Rais. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment