Maritim Malaysia tingkat rondaan buru nelayan asing
KUALA LUMPUR, 08 November, 2013: Operasi rondaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa dipertingkat bagi mengesan kegiatan jenayah maritim termasuk penggunaan lesen pengusaha bot nelayan tempatan oleh nelayan asing.
Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah agensi itu, Laksamana Pertama Datuk Zulkifili Abu Bakar berkata, tumpuan turut diberikan terhadap kegiatan penggunaan pukat tunda ganding oleh nelayan asing sehingga merosakkan hidupan laut.
"Penggunaan lesen pengusaha bot nelayan tempatan yang digunakan oleh nelayan asing merupakan satu kesalahan dan perlu dibanteras, begitu juga dengan penggunaan pukat tunda ganding yang diharamkan di Malaysia.
"Kita lakukan pemeriksaan di laut sama ada kapal-kapal kita disewa atau dipajak kepada nelayan asing," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung penyalahgunaan lesen bot tempatan oleh pemilik yang memajak kepada nelayan warga asing.
Zulkifili berkata, rondaan turut dijalankan berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui Radar Sistem Pengawasan Laut Malaysia (Swasla) yang boleh mengesan pergerakan mencurigakan seperti pengunaan pukat tunda ganding di laut.
Katanya, dari Januari hingga hingga 22 Oktober lalu sebanyak 23,181 pemeriksaan telah dijalankan dengan 576 tangkapan telah dibuat membabitkan pelbagai kesalahan jenayah maritim termasuk penyeludupan rokok, barang kawalan, penghijrah, rompakan di laut dan pencerobohan bot nelayan asing.
Beliau bagaimanapun berkata, Maritim Malaysia hanya menjalankan penguatkuasaan di laut namun dari segi dokumentasi atau perolehan lesen adalah di bawah Jabatan Perikanan Malaysia.
Dalam pada itu Zulkifili berkata, tindakan tegas juga akan diambil terhadap anggotanya yang didapati melepaskan nelayan asing yang menggunakan lesen bot nelayan tempatan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment