Sultan Johor tarik balik gelaran Datuk CEO YPJH
Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
JOHOR BAHRU, JUMAAT, 08 November, 2013: Gelaran Datuk yang diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pelajaran Johor Holdings (YPJH), Hamsan Saringat ditarik balik oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berkuat kuasa semalam.
Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, selain gelaran Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang dikurniakan kepada Hamsan pada tahun 2005, turut ditarik balik ialah Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) mulai tarikh yang sama.
Kata Abdul Rahim, sebaik menerima titah Sultan Ibrahim semalam, beliau terus menghubungi Hamsan agar mengembalikan bintang dan gelaran tersebut pada petang hari yang sama.
Menurutnya, penarikan gelaran Hamsan yang juga bekas Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) adalah berdasarkan Fasal 7(2) (f) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 dan Fasal 13 Undang-Undang dan Peraturan Bagi Darjah Mahkota yang mana Sultan Ibrahim mempunyai kuasa untuk menarik gelaran tersebut. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment