My Add

Saturday, 9 November 2013

Nahas Genting: Beberapa pihak bakal didakwa

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 08 November, 2013: Beberapa pihak termasuk pengurusan sebuah syarikat perkhidmatan bas ulang-alik Genting Highlands bakal berdepan tindakan undang-undang susulan kemalangan maut di Kilometer 3.5, Jalan Genting HighlandsKuala Lumpur pada 21 Ogos lalu.

Perkara itu dinyatakan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas meneliti analisis Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati bas berkenaan dipandu laju ketika menuruni lokasi kemalangan terbabit.

Malah jelasnya, siasatan MIROS mendapati, kenyataan daripada mangsa juga menyokong bahawa pemandu bas itu telah memandu laju melebihi had laju yang ditetapkan iaitu 50 kilometer per jam.

''Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan membuat pengumuman mengenai tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak tertentu. Cuma saya nak minta mereka memastikan undang-undang memberi ruang untuk tindakan diambil terhadap pengurusan syarikat selain syarikat itu sendiri.

''Saya sudah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan SPAD untuk mengambil tindakan terbabit. Selain itu, salah satu tindakan yang boleh dipertimbangkan adalah menghentikan operasi syarikat berkenaan,'' katanya dalam sidang akhbar mengumumkan laporan nahas tersebut di sini hari ini.

Kemalangan di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas selepas kenderaan yang dinaiki 53 orang tersebut terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara.

Hishammuddin memberitahu, selain dipandu laju, kekurangan kecekapan fungsi brek pada bas tersebut akibat daripada keadaan pelapik brek yang haus di kedua-dua roda hadapan bas telah mengakibatkan bas gagal diperlahankan ketika menghampiri selekoh tajam di lokasi kemalangan.

Selain itu ujarnya, implementasi syarikat bas terhadap Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE), khususnya berkaitan aspek polisi keselamatan dan sokongan pengurusan, pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan serta laluan dan risiko adalah tidak memuaskan.

''Bagi menjalankan fungsi penyiasatan ini, MIROS juga telah mengadakan 14 sesi perjumpaan dengan pihak-pihak tertentu secara berasingan bagi mendapatkan penjelasan lanjut, mengesahkan beberapa maklumat yang berbangkit dan mendapatkan pandangan berkaitan penambahbaikan yang praktikal dan efektif.

''Selain siasatan MIROS, SPAD dan polis juga turut menjalankan siasatan berasingan mengikut skop dan bidang kuasa masing-masing, khususnya dalam aspek pelesenan kenderaan komersial dan undang-undang,'' tegasnya.

Katanya, kerajaan amat serius dan konsisten dalam menangani isu keselamatan jalan raya dan sebagai langkah segera, pihak kementerian bersetuju melaksanakan beberapa strategi terutama langkah-langkah keselamatan di Genting Highlands.

Strategi itu adalah:

l Penubuhan seksyen baharu di JPJ dikenali Seksyen Profil Pemandu yang memberi fokus kepada isu-isu pemanduan dengan JPJ berkuasa menggantung atau membatal lesen memandu.

l Penempatan pegawai JPJ dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Genting Highlands untuk menjalankan pemeriksaan fizikal bas bagi menjamin keselamatan dari segi teknikal.

l Penguatkuasaan terhadap pemandu bas di Genting Highlands bagi memastikan kesihatan pemandu di tahap baik dan tidak memandu di bawah sebarang pengaruh dadah atau alkohol.

''Dengan pelaksanaan inisiatif terbabit yang akan berkuatkuasa 1 Disember ini, adalah diharapkan ia dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tanah tinggi tersebut di samping meningkatkan keyakinan pengunjung mengenai tahap keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam,'' tambahnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment