*DAUD Tahir menyematkan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 40 pegawai dan anggota JPAM yang terlibat dengan Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah dalam Majlis Perasmian Himpunan Pertahanan Awam Malaysia Ke-19, 2013 di Port Dickson, Negeri Sembilan, malam semalam. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN |
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jabatan itu akan menambah aset operasi dan logistik, memasang sistem amaran awam, menaik taraf pejabat operasi daerah, membina menara penyelamat pantai dan membuka pejabat operasi baharu.
Beliau berkata, semua langkah berkenaan penting bagi memantapkan operasi JPAM seiring dengan perkembangan dan keperluan semasa.
"Memorandum mengenainya kepada Kabinet telah disediakan dan dalam peringkat akhir sebelum dibentang melalui Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Negara," katanya dalam majlis perasmian Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19, 2013 di Port Dickson dekat sini malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Pengurusan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Daud Tahir.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Suleiman Keling.
Ahmad Zahid memberitahu, pembinaan ibu pejabat Pertahanan Awam di Sungai Merab, Selangor bernilai RM50 juta dan Pusat Latihan Pertahanan Awam fasa 2 di Kluang, Johor dengan kos RM50 juta adalah dua projek baharu yang akan dilaksanakan tahun depan.
Lebih 1,500 pegawai dan anggota JPAM dari seluruh negara menyertai himpunan selama tiga hari itu.
Pada majlis itu, Daud turut menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 40 pegawai dan anggota JPAM yang terlibat dengan Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment