Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan Karpal yang dianggap banyak pihak sebagai meludah ke langit setelah DAP sendiri dilihat merupakan parti cauvinis Cina, sebagai serius serta berbahaya.
Begitupun, Pas dilihat masih takut-takut untuk mendesak Karpal dikenakan hukuman selepas Tuan Ibrahim sekadar menyerahkan perkara itu kepada DAP untuk memutuskan tindakan sewajarnya diambil.
Malah, Tuan Ibrahim juga langsung tidak berani menyentuh mengenai pendirian Pas untuk keluar daripada pakatan pembangkang meskipun kenyataan yang berunsur penghinaan itu telah banyak kali dibuat pemimpin DAP.
Walau bagaimanapun, parti mengakui kenyataan Karpal itu boleh merosakkan hubungan baik antara Pas dan DAP selain menjejaskan sokongan rakyat kepada pakatan pembangkang.
Pas sangat kesal dengan kenyataan yang tidak berasas ini yang memperlihatkan betapa Karpal gagal memahami perjuangan Pas. Karpal sepatutnya mengemukakan fakta, bukan mengeluarkan kata-kata ikut sedap hati," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Karpal menegaskan, parti politik termasuk Pas serta pertubuhan profesional yang berteraskan kaum dan agama tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana beliau menganggap perkara itu berbahaya kepada Malaysia.
Sebelum ini, Karpal telah berulang kali mempersenda dan memperkecil Pas termasuk mencabar parti itu melangkah mayatnya terlebih dahulu jika berhasrat mahu mewujudkan negara Islam atau melaksanakan hukum hudud.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut membandingkan kewujudan parti Pas dengan kenyataan yang dibuat Karpal.
Apakah bahaya perjuangan Pas bagi masyarakat majmuk di Malaysia? Nilai sendiri pemerintahan Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah dari segi perpaduan menjaga hak Muslim dan bukan Muslim. Apakah bukan Islam dipinggirkan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment