My Add

Thursday, 7 November 2013

Tiada hak cadangkan bubar pendaftaran

KUALA TERENGGANU, RABU, 06 November, 2013: Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib hari ini membidas Karpal Singh dengan menyifatkan Pengerusi DAP itu tidak berhak sama sekali menyarankan Pas dibubarkan pendaftarannya.

Sebaliknya, Harun membalas balik teguran Karpal itu dengan mencadangkan DAP yang sepatutnya dibubarkan sekiranya merasakan parti perlu berbuat demikian kerana berasaskan kaum dan agama seperti mana didakwa.

Beliau turut menolak dakwaan pemimpin DAP itu kononnya parti-parti lain yang berasaskan kaum dan agama termasuk Pas dikatakan tidak sesuai diamalkan di negara ini dan berbahaya.

"Apa yang bahayanya, parti Pas tidak membahayakan sesiapa. Hakikatnya, Pas adalah sebuah parti yang berasaskan Islam untuk menyatupadukan rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.

"Malah sebelum datangnya Islam, manusia dalam keadaan berpuak-puak dan berpecah belah, sehinggalah Allah turunkan Nabi Muhammad yang akhirnya berjaya menyatukan umat manusia di bawah panji Islam.

"Jadi, dia (Karpal) tak ada hak cadangkan agar Pas dibubar pendaftaran, tapi dia (DAP) yang patut dibubarkan, bukan Pas dan kalau dia (Karpal) rasa DAP patut dibubar, terpulanglah kepada mereka," katanya di sini hari ini.

Harun diminta mengulas saranan Pengerusi DAP itu semalam bahawa semua parti politik dan pertubuhan profesional berasaskan kaum dan agama di negara ini termasuk Pas perlu dibatalkan pendaftarannya.

Menurut Karpal, parti politik dan pertubuhan seumpama itu tidak sesuai diamalkan di negara ini selain berbahaya dan ia perlu diubah atau dibatalkan supaya sesuai untuk disertai rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, sepatutnya parti politik dan pertubuhan profesional berasaskan kaum dan agama tidak dibenarkan kerana ia sesuatu yang serius.

Harun seterusnya menjelaskan, dasar terbuka Pas terhadap bukan Islam terbukti dengan kewujudan sayap Himpunan Penyokong Pas di kalangan bukan Islam yang berjaya menyatupadukan antara kaum.

Beliau menegaskan, Pas sejak awal penubuhannya lagi sentiasa menggalakkan perdamaian antara pelbagai bangsa dan agama sekali gus menolak pergolakan dan peperangan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment