My Add

Friday, 8 November 2013

Pekerja maut dihempap cermin seberat 2 tan

 
*KEADAAN mayat Thang Ngaih Lian yang dihempap kira-kira 100 keping cermin di belakang sebuah kedai cermin di Jalan Sakeh, Muar, Johor, semalam.
MUAR, KHAMIS, 07 November, 2013;- Seorang pekerja warga Myanmar maut dalam keadaan mengerikan selepas dihempap 100 keping cermin seberat kira-kira dua tan semasa memunggah muatan barangan itu dari sebuah lori di belakang kedai cermin di Jalan Sakeh di sini hari ini.

Dalam insiden pukul 2.15 petang itu, Thang Ngaih Lian, 22, berasal dari Yangon, mati di tempat kejadian apabila kepingan cermin tersebut yang pecah, mencederakan leher, kepala dan anggota badan mangsa.

Difahamkan, cermin berukuran 1.8 x 2 meter itu dihantar ke premis berkenaan oleh pembekal sebelum dipotong mengikut permintaan pelanggan.

Rakan sekerjanya yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian mangsa bersama tiga rakan senegaranya ditugaskan membawa turun 500 keping cermin itu daripada sebuah lori yang baru sampai.

"Semasa itu mangsa dan dua lagi rakan sudah membawa turun 350 keping cermin sebelum mengambil keputusan berehat di belakang lori. Mungkin disebabkan separuh muatan cermin sudah diturunkan keadaan lori menjadi tidak seimbang.

"Ngaih Lian sedang berehat di atas dan tiga rakannya di bawah. Secara tiba-tiba 100 keping cermin mula bergerak ke bahagian kanan sebelum tumbang dan menimpa mangsa yang terus terjatuh ke dalam longkang. Berat cermin itu kira-kira 20 kilogram setiap keping," katanya ketika ditemui.

Katanya lagi, tiga lagi rakannya yang sedar cermin itu akan tumbang sempat melarikan diri tetapi mangsa tidak dapat berbuat demikian kerana kedudukannya di bahagian atas, berdekatan dengan cermin berkenaan.

Dia berkata, selepas 100 keping cermin itu jatuh dan pecah, masih terdapat 50 keping lagi di atas lori namun tidak tumbang kerana keadaannya condong ke arah berlawanan.

"Saya terdengar bunyi benda jatuh dan berkecai yang sangat kuat sebelum segera ke belakang kedai dan melihat mangsa sudah dihempap cermin setinggi kira-kira dua meter itu. Badan mangsa langsung tidak nampak akibat timbunan cermin.

"Kami tidak dapat membantu dan segera menghubungi pihak bomba yang datang seramai enam anggota dan mereka mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa dari timbunan cermin itu," katanya.

Beliau berkata, mangsa telah 18 bulan bekerja di kedai berkenaan dan memiliki permit kerja yang sah.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit dan mayat Ngaih Lian dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment