My Add

Friday 8 November 2013

Tiada kompromi

Oleh HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA, KHAMIS, 07 Novemb er, 2013: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak akan berkompromi dengan desakan segelintir nelayan yang membantah penggunaan saiz mata keroncong pukat tunda melebihi 38 milimeter (mm) yang telah dikuatkuasakan sejak 1 November lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketegasan itu bagi mengelakkan kepupusan sumber ikan pada masa depan, selain mengancam pendapatan nelayan dan juga keselamatan bekalan makanan negara.

Beliau berkata, tindakan tersebut perlu memandangkan peraturan itu telah diletakkan sebagai syarat lesen pukat tunda sejak 1982 tetapi tidak dikuatkuasakan berikutan status sumber perikanan masih baik ketika itu.

‘‘Setakat ini, hanya tujuh peratus atau 3,936 daripada 54,235 nelayan di Semenanjung Malaysia menggunakan pukat tunda tersebut.

‘‘Kira-kira 40 hingga 60 peratus ikan yang ditangkap oleh bot pukat tunda dijadikan baja ikan sedangkan tujuan utama tangkapan dibuat untuk dijual di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas berhubung bantahan segelintir nelayan terhadap tarikh penguatkuasaan untuk pukat tunda itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Mohamad Dolmat.

Beberapa buah negara bukan hanya mengharamkan penggunaan pukat tunda tetapi menguatkuasakan peraturan saiz pukat yang lebih besar iaitu Bangladesh (60mm), Korea Utara (40mm), Brunei (51mm), Pakistan (58mm) dan Myanmar (50mm).

Justeru, Ismail Sabri berkata, kementerian akan mengadakan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk menguatkuasakan peraturan itu.

‘‘Saya mahu beritahu mereka (nelayan), cukuplah nak mogok, nak bantah kerana selama mana pun mereka nak mogok, kita tidak akan menghentikan atau menarik balik peraturan yang telah diperkenalkan itu.

‘‘Saya juga kesal dengan tindakan parti pembangkang yang turut membantah langkah kementerian sedangkan kegagalan menguatkuasakan peraturan tersebut antara teguran dalam laporan Jabatan Audit Negara yang lalu," katanya.

Sementara itu, Mohamad menyifatkan ketegasan kementerian itu sebagai wajar kerana lebih 90 peratus nelayan di negara ini tidak menggunakan pukat tunda yang bersaiz sedemikian. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment