Pemimpin Pas perlu sedar niat tersembunyi Karpal
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 November, 2013: Seluruh kepemimpinan Pas perlu sedar niat tersembunyi Karpal Singh di sebalik kenyataannya yang menyarankan semua parti politik berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftarannya.
Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berpendapat, Karpal sebenarnya mencabar Perlembagaan yang telah memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan selain mencabar kedudukan raja-raja Melayu sebagai pelindung terakhir kepada Islam dan orang Melayu di negara ini.
''Ketika isu cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menggugurkan perkataan Islam kepada pertubuhan-pertubuhan seperti Pas, ahli dan penyokong Pas membantah keras, mencemuh dan menyatakan bangkangan yang serius terhadap cadangan itu.
''Menyorot kembali peristiwa tersebut, rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam dan berketurunan Melayu sudah tentu ingin melihat satu bentuk tindakan yang keras kepada Karpal, sekurang-kurangnya sepadan dengan apa dilakukan oleh ahli dan penyokong Pas terhadap Tun Dr. Mahathir pada ketika itu,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Karpal yang menyarankan semua parti politik berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftarannya.
Walau bagaimanapun, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagaimana yang dipetik menerusi portal propembangkang, Malaysiakini mendakwa kenyataan Karpal itu telah diputar belit.
Mengulas lanjut, kata Hasan, semua ahli Pas tidak perlu ragu untuk mempertahankan kesucian Islam dan sesiapa sahaja yang mencabar maruah parti itu adalah tidak wajar untuk dijadikan teman seperjuangan sekali gus mengambil pendirian keluar daripada pakatan pembangkang.
Dalam pada itu, aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin berkata, Pas perlu mengambil pendirian lebih tegas kerana parti itu kini dilihat terlalu lemah untuk menyatakan prinsip dan maruah daripada terus 'dipijak' oleh DAP.
''Melihat kepada polemik yang berlaku terhadap isu ini, saya menyeru kepada seluruh ahli Pas agar menilai sendiri siapa sebenarnya Karpal yang sering menyakitkan hati para pendokong Pas dan sudah tiba masanya mereka menyatakan prinsip dan sikap mereka betapa sebenarnya Karpal ini anti-Islam dan anti-Melayu.
''Pas pula seakan tidak pernah serik dan kelihatan tidak pernah kesal terhadap apa jua pukulan maut dari kenyataan Karpal ini yang secara langsung atau tidak mempersoal dan menyindir dengan sinis terhadap mereka,'' katanya.
Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Nakhaei Ahmad pula berkata, kenyataan Karpal itu telah melanggar prinsip hak asasi manusia.
Sehubungan itu, Pas katanya wajar menuntut agar Karpal berhenti memimpin DAP kerana telah menjadi ancaman kepada parti itu sendiri.
''Pas tidak boleh lagi berlembut sebaliknya perlu membuat pendirian tegas sekiranya mahu terus kekal dalam pakatan pembangkang,'' katanya yang juga bekas Naib Presiden Pas. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment