My Add

Friday, 8 November 2013

Pemilihan UMNO: Tidak mungkin kembali ke sistem lama

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 November, 2013: UMNO tidak akan mengubah kembali peraturan baharu yang memberikan kuasa kepada lebih 150,000 ahlinya memilih pucuk pimpinan parti seperti mana pemilihan yang diadakan baru-baru ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun timbul beberapa masalah kecil tetapi beliau membayangkan tidak akan ada pusingan U untuk kembali kepada peraturan asal.

"Kita melihat momentum daripada pemilihan UMNO yang diadakan baru-baru ini tidak menjejaskan kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau Ahad lepas.

"Jadi, ia bukan satu isu besar yang akhirnya menyebabkan peraturan itu dibatalkan dan kembali kepada peraturan asal.

"Apa yang perlu ialah kita melakukan penambahbaikan terhadap beberapa masalah yang timbul melalui pindaan perlembagaan, tata etika dan juga peraturan, tapi tidakU-turn," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatan Kuasa Usul bagi Persidangan Agung UMNO 2013 di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan turut berkata, peraturan baru yang memberi kuasa kepada lebih 150,000 ahli parti untuk memilih pucuk pimpinan sehingga jawatan presiden dilihat amat positif dalam kalangan ahli.

"Ini adalah satu proses yang berani dan memerlukan keyakinan dan kesetiaan oleh akar umbi dan juga kepimpinan. Dan masalah yang timbul tidak menjejaskan parti," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, sebanyak 301 usul diterima daripada semua bahagian UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung Disember ini dengan 233 usul adalah untuk rujukan, 298 tanpa bahas manakala tiada usul ditolak. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment