PPPM bakal letak Malaysia tiga negara terbaik - TPM
PARIS, SABTU, 09 November, 2013: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mampu untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan tiga negara terbaik dari segi prestasi dalam penilaian pendidikan antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, ia akan meletakkan Malaysia setanding dengan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), namun tetap berpegang teguh kepada cita-cita yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara.
"Bagaimanapun, kita sedar bahawa cabaran adalah banyak dalam usaha untuk menjadi 'negara pesaing' dalam aspek piawaian dan penanda aras. Natijahnya, kita menetapkan matlamat untuk mencapai cita-cita lebih tinggi menjelang 2025," katanya dalam ucapan aluannya pada program Gallery Walk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), Dr. Irina Bokova dan Duta Besar Malaysia di Perancis, Tan Sri Ismail Omar.
Pameran ini diadakan di ibu pejabat UNESCO untuk berkongsi pengalaman Malaysia dalam melaksanakan transformasi sistem pendidikan negara, yang merupakan susulan kepada 'Kajian Dasar Pendidikan' yang dijalankan oleh UNESCO.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata, Malaysia telah berada jauh dalam usahanya untuk terus meningkatkan sistem pendidikan.
"Sejak permulaan kemerdekaan negara pada tahun 1957, hanya tujuh peratus daripada penduduk mendapat pendidikan sekurang-kurangnya di peringkat sekolah menengah. Hari ini, 76 peratus sekurang-kurangnya telah menamatkan pendidikan di peringkat menengah; satu pencapaian yang membanggakan dalam jangka pendek," katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga telah mencapai kadar kemasukan pelajar sekolah rendah dan menengah menghampiri standard antarabangsa iaitu masing-masing pada kadar 96 dan 91 peratus.
"Pencapaian ini telah dicapai melalui perbelanjaan secara konsisten sebahagian besar daripada Keluaran Dalam Negara Kasar iaitu kira-kira 16 peratus peratus, untuk pendidikan.
"Ini adalah jelas lebih besar berbanding perbelanjaan purata Organisasi Kerjsama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) iaitu sebanyak 8.7 peratus," katanya.
Muhyiddin berkata, pada akhir tahun 2011 dan sepanjang 2012, kerajaan telah memulakan kajian sistem pendidikan dengan mengadakan 'Dialog Kebangsaan' melibatkan orang awam, termasuk lebih 50,000 pengetua, guru, ibu bapa, pelajar dan pihak berkepentingan.
"Pada masa sama, kami juga telah mendapatkan input daripada panel pakar bebas terdiri daripada pakar pendidik terkemuka rakyat Malaysia dan pendidik global dari UNESCO, Bank Dunia, IEA (Persatuan Antarabangsa bagi Penilaian Pencapaian Pendidikan) dan OECD.
"Pada ketika ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Unesco yang bermurah hati dan tanpa penat membantu Malaysia sepanjang proses kajian ini," katanya.
Kerajaan telah melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, pelan strategik selama 13 tahun yang merupakan kemuncak kepada pelbagai usaha untuk mencapai cadangan tindakan kepada aspirasi yang sungguh tinggi.
"Komponen proses utama termasuk memahami prestasi semasa dan cabaran sistem persekolahan Malaysia, mewujudkan visi yang jelas dan aspirasi sistem pendidikan dan pelajar individu dalam tempoh 13 tahun akan datang sehingga 2025.
"Juga menggariskan program transformasi komprehensif bagi sistem itu termasuk perubahan utama terhadap Kementerian Pendidikan dan sistem penyampaiannya," tambah Muhyiddin. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment