My Add

Thursday, 7 November 2013

Takiyuddin minta Karpal berubah

KOTA BHARU, RABU, 06 November, 2013: Pas menyifatkan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebagai liabiliti kepada pakatan pembangkang kerana mengeluarkan kenyataan menyarankan pendaftaran parti berlambangkan bulan penuh itu sebagai sebuah pertubuhan, dibatalkan.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Karpal sebagai peguam dan ahli politik senior seharusnya memahami Perlembagaan dan undang-undang negara yang membenarkan kebebasan berpersatuan.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu juga tidak sewajarnya membangkitkan perkara tersebut kerana Pas sebagai parti politik adalah sama dengan persatuan lain yang tertakluk di bawah Akta Pertubuhan.

"Sekiranya benar apa yang dikatakan Karpal itu, saya lihat ini tidak wajar sama sekali kerana dalam Perlembagaan memberikan kebebasan untuk rakyat berpersatuan termasuk berasaskan kaum dan agama, begitu juga dengan Akta Pertubuhan.

"Saya lihat agama Sikh juga ada persatuannya seperti Sikh Naujawan Sabha Malaysia begitu juga dengan Buddha dengan Dong Zong, semua ini tidak menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini, jadi tindakan beliau amat tidak wajar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Karpal yang menyarankan semua parti politik berasaskan kaum dan agama termasuk sekutunya, Pas dibatalkan pendaftarannya.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu walau bagaimanapun berkata, pihaknya yakin kenyataan itu tidak menjejaskan pakatan pembangkang kerana itu hanya pandangan peribadi Karpal.

"Karpal selalu mengeluarkan kenyataan seperti ini, kita sudah semak dengan DAP dan tidak mewakili parti itu, Karpal sepatutnya berubah dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris rakan mereka dalam pakatan.

"Kalau pun ada satu atau dua pertubuhan berasaskan kaum dan agama menggugat keharmonian negara ini sekali pun, Karpal tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan secara umum begitu," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment