My Add

Thursday, 7 November 2013

Sikap tidak berhati-hati, sentuh sensitiviti perlu dihentikan

KOTA BHARU, RABU, 06 November, 2013:.Pas Kelantan membantah keras kenyataan kontroversi Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu semua parti politik dan pertubuhan profesional berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftarannya.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sikap tidak berhati-hati Karpal yang sering menyentuh sensitiviti sekutu dalam pakatan pembangkang adalah sesuatu yang sepatutnya dihentikan.

Beliau berkata, sebagai parti yang berpaksikan agama, Pas tidak pernah menimbulkan huru-hara malah memberi sumbangan besar kepada sistem demokrasi negara.

"Kita tahu ia adalah pandangan peribadi Karpal dan kita amat tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut. Pas telah puluhan tahun berada dalam kancah politik negara dan banyak memberi sumbangan.

"Kita menuntut Karpal lebih berhati-hati membuat kenyataan dan beliau sepatutnya menjaga sensitiviti rakan pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Karpal yang mahu parti politik termasuk Pas dan pertubuhan profesional di negara ini yang berteraskan kaum dan agama dibatalkan pendaftarannya kerana berbahaya serta tidak sesuai diamalkan.

Karpal dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang semalam dilaporkan turut menyelar Persatuan Peguam Muslim Malaysia yang dianggapnya hanya persatuan pencetus masalah apabila dikatakan seolah-olah cuba mengugut Majlis Peguam berhubung isu kalimah Allah dan majalah The Herald.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan memberitahu, kerajaan negeri sentiasa bersiap sedia menghadapi bencana banjir di negeri ini.

Jelasnya, jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim sentiasa memastikan barisan petugas operasi pengkalan hadapan bersedia memberi bantuan awal kepada mangsa sebaik bermulanya musim banjir. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment