Tambang baharu bas ekspres, sekolah diumum waktu terdekat
GUA MUSANG, KHAMIS, 07 November, 2013: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengumumkan kadar baharu tambang bas ekspres dan sekolah untuk seluruh negara tidak lama lagi selepas semua kajian berhubung perkhidmatan pengangkutan tersebut selesai dalam masa terdekat.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kajian berhubung perkara itu perlu dilakukan dengan teliti dan serius supaya dapat memberi manfaat bersama tanpa membebankan penumpang atau pemilik syarikat bas.
Dalam masa sama, beliau mahu semua syarikat bas ekspres dan sekolah di negara ini meningkatkan mutu perkhidmatan dari segi penyediaan bas yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan bagi keselesaan penumpang.
"Kita faham bebanan tanggungan pengusaha bas sekarang berikutan kenaikan harga bahan bakar seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini dan perkara itu masih dalam kajian untuk kita menetapkan kadar baharu yang munasabah.
"Memang penumpang mahu bas selesa dan lengkap dengan ciri-ciri keselamatan, begitu juga pengusaha bas yang terpaksa menanggung kos tinggi untuk berbuat demikian dan kita fikirkan itu semua," katanya kepada pemberita selepas pelancaran empat bas baharu Konsortium E-Mutiara Berhad di Hentian Gua Musang, di sini hari ini.
Kesemua bas baharu E-Mutiara dua tingkat itu dilengkapi sistem teknologi tercanggih dan mempunyai kelengkapan kamera bagi merakam kesalahan pemandu bas, sistem pengesan global (GPS) untuk memantau perjalanan bas, Astro, WiFi, alat kawal had laju, tali pinggang keledar, kemudahan plug dan tempat duduk yang selesa.
Pelancaran bas itu juga berikutan E-Mutiara kini meningkatkan perkhidmatan laluan Gua Musang-Kuala Lumpur dan sebaliknya dengan perjalanan setiap hari.
Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail; Ketua Operasi SPAD, Halim Hussin dan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritendan Saiful Bahri Abdullah.
Dalam pada itu, Syed Hamid mahu syarikat bas ekspres lain mencontohi E-Mutiara yang mengambil berat soal kualiti bas bagi keselesaan dan keselamatan penumpang hingga memenuhi syarat ditetapkan SPAD.
Beliau juga mahu penumpang bas tidak menggunakan bas haram yang dipercayai bergerak dengan mengambil penumpang di semua perjalanan di negara ini kerana berisiko tinggi.
"Kita hairan kenapa pengusaha bas haram itu tidak memohon permit daripada SPAD bagi memberi semua perlindungan termasuk insurans kepada penumpang dan lebih suka bergerak secara haram mengambil penumpang," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment