My Add

Friday, 8 November 2013

Kita mahu lihat hasil terbaik dan berkesan PPPM - Muhyiddin

PARIS, KHAMIS, 07 November, 2013: Malaysia ingin mendapatkan kepakaran Institut Antarabangsa bagi Penyelidikan Pendidikan (IIEP) iaitu agensi di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk memastikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 membuahkan hasil yang terbaik dan berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara amat menitikberatkan hasil daripada pelaksanaan sistem tersebut dengan laporan pertama mengenainya akan dikeluarkan pada Januari atau Februari tahun depan.

Walau bagaimanapun menurut beliau, kepakaran IIEP diperlukan bukan untuk membantu keseluruhan pelaksanaan PPPM, sebaliknya mungkin melibatkan beberapa sub sektor dalam pelan pendidikan itu.

"Kita mahu melihat bagaimana peranan IIEP, bukannya untuk merancang kerana kita telah membuat perancangan tetapi untuk melaksanakan PPPM secara lebih berkesan dan paling baik kerana pada akhirnya kita mahu melihat hasilnya.

"Malaysia memperuntukkan 21 peratus daripada bajet kita untuk bidang pendidikan dan itu satu jumlah yang besar. Tapi itu adalah sesuatu yang kita perlu lakukan kerana ia pelaburan paling baik untuk negara.

"Oleh itu kita mahu IIEP membantu kita untuk melihat apa yang penting dalam pelaksanaan pelan ini agar ia memberi hasil yang berkesan," katanya semasa mengadakan lawatan ke agensi itu di sini semalam.

Dalam lawatan itu beliau diberi taklimat mengenai hala tuju dan perancangan IIEP selepas 50 tahun penubuhannya oleh Pengarahnya, Khalil Mahshi.

Yang turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Duta Besar Malaysia ke Perancis, Tan Sri Ismail Omar.

Dalam lawatan itu, Timbalan Perdana Menteri turut berkongsi perubahan yang dilakukan Malaysia untuk meningkatkan sistem pendidikan negara termasuk pengenalan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan beban tugas guru.

IIEP ditubuhkan pada 1963 dengan peranan untuk melaksanakan kajian dan latihan tenaga pakar pendidikan dan dalam masa sama menyokong pembuat dasar pendidikan negara-negara anggota UNESCO.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyatakan komitmen Malaysia untuk menyumbang AS$50,000 setahun kepada IIEP iaitu peningkatan daripada AS$5,000 setahun sebelum ini untuk badan itu melaksanakan peranannya.

Malaysia juga katanya, akan mengenal pasti bentuk kerjasama yang boleh dilakukan IIEP dengan Institut Aminuddin Baki, sekali gus menjadikan negara sebagai hab bagi penyelidikan dan latihan pendidikan di rantau Asia. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment