My Add

Friday 21 December 2012

15 perakuan dilaksana tambah bilangan pelajar aliran sains: Muhyiddin

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 21 Disember, 2012: Kementerian Pelajaran akan melaksanakan 15 perakuan dalam usaha menambah bilangan pelajar aliran sains di sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

15 perakuan itu adalah sebahagian daripada 61 perakuan yang dikemukakan Jawatankuasa Mengkaji Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera yang ditubuhkan kementerian pada 2 Feb lepas dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata antara perakuan yang akan dilaksanakan adalah menyemak semula hala tuju pendidikan sains dan teknologi dan
definisinya, serta menambah bilangan waktu pembelajaran dan pengajaran bagi
semua mata pelajaran sains tulen daripada empat waktu kepada lima waktu
seminggu.

"Bagi memastikan murid-murid belajar dalam keadaan yang kondusif, kerajaan
akan membaik pulih dan menaik taraf makmal sedia ada di sekolah rendah dan
menengah. 

"Perkara itu akan menjadi sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang sedang dimurnikan ketika ini,"
katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pembudayaan Sains dan Teknologi dan Pelancaran Buku Laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera di Petrosains KLCC di sini, hari ini.

Buku laporan strategi itu yang diterbitkan hasil daripada beberapa sesi mesyuarat, bengkel dan dialog yang dikendalikan bersama-sama pelbagai pihak lain
seperti ibu bapa, guru, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dibentangkan
kepada Muhyiddin pada 5 November lalu.

15 perakuan yang dinyatakan itu akan dilaksanakan secara kolaboratif antara sektor awam khususnya Kementerian Pelajaran, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Kementerian Pengajian Tinggi, swasta dan masyarakat.

Muhyiddin berkata, perakuan lain yang bakal dilaksanakan adalah penggunaan
pendekatan pembelajaran inkuiri penemuan dan pemantauan dalam pengajaran dan
pembelajaran, serta mewujudkan semula Peperiksaan Berpusat Amali Sains pada
peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Turut dimuatkan dalam perakuan tersebut adalah meningkatkan kadar pemberian
Biasiswa Kecil Persekutuan murid sains tingkatan empat dan lima daripada RM70
kepada RM200 sebulan, manakala Biasiswa Kelas Persediaan Universiti bagi murid tingkatan enam juga dinaikkan daripada RM110 sebulan kepada RM300 sebulan.

Daripada aspek tenaga pengajar, kerajaan bakal menyediakan laluan kerjaya dan memberi pengiktirafan kepada guru sains dan teknologi yang setimpal dengan
kelulusan akademik mereka, serta memastikan kurikulum latihan guru yang menjurus kepada kandungan kepakaran dan kemahiran dalam bidang sains tulen dan teknologi.

Timbalan Perdana Menteri menyarankan supaya pusat penemuan sains seperti Pusat Sains, Petrosains dan Planetarium supaya mempergiatkan kempen, pameran dan aktiviti membabitkan guru serta ibu bapa bagi menggalakkan pelajar meminati sains.

Katanya, pendekatan interaktif yang digunakan pusat sains tersebut dalam pembelajaran penghayatan sains dilihat efektif dan berkesan untuk mempelajari sains.

"Saya yakin dengan peranan yang dimainkan ibu bapa, masyarakat dan sektor
swasta serta badan korporat merupakan tanggungjawab sosial ke arah membentuk
persekitaran positif penerapan budaya sains di rumah, sekolah dan persekitaran,"
katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment