My Add

Friday 21 December 2012

Mungkin faktor usia, komitmen rumah tangga punca Chong Wei merosot 

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 21 Disember, 012: Seperti peminat badminton yang lain, Datuk Misbun Sidek turut gelisah melihat prestasi semasa Datuk Lee Chong Wei.

Beliau yang pernah melatih pemain nombor satu negara ini berpendapat kemungkinan faktor usia atau komitmen rumah tangga telah menjejaskan sedikit
prestasinya. 

"Apabila Chong Wei sudah berumah tangga, kita tidak tahu bagaimana komitmennya. Badminton adalah sukan yang memerlukan kecerdasan fizikal dan kita tidak tahu sejauh mana tahap kecerdasan Chong Wei ketika ini.

"Sebagai ahli sukan, Chong Wei sendiri harus tahu di mana kedudukannya untuk
menstabilkan diri di peringkat antarabangsa," katanya pada majlis perasmian Kejohanan Badminton Future X-Plode Kementerian Belia dan Sukan (KBS)-Nusa Mahsuri peringkat kebangsaan 2012 di sini, hari ini.

Kejohanan yang bermula semalam sehingga Ahad ini dirasmikan Timbalan Menteri
Belia dan Sukan, Senator Gan Peng Shieu.

Ia adalah kesinambungan Kem Bakat Badminton KBS-Nusa Mahsuri peringkat
zon dan negeri yang diadakan sejak 2009.

Namun, Misbun yakin Chong Wei dapat mengatasi kelemahannya untuk kembali kepada prestasi terbaiknya.

Chong Wei, 30, mendirikan rumah tangga dengan bekas pemain perseorangan negara, Wong Mew Choo pada 9 November lalu.

Beliau tumpas mengejut kepada pemain nombor sembilan dunia, Du Pengyu dari China pada aksi pembukaan Siri Super Masters Akhir di Shenzhen, China baru-baru ini.

Selepas itu, beliau menarik diri daripada kejohanan akibat kecederaan pada kaki kanan.

Mengulas kejohanan Future X-Plode, Misbun yang juga ketua jurulatih Kelab Nusa Mahsuri berkata kejohanan yang diadakan di Kompleks Sukan, Institut Penilaian Negara, Bangi, Selangor menyaksikan penyertaan 400 peserta berumur 13 tahun ke bawah.

Ia mempertandingkan lapan kategori iaitu Bawah 11 Tahun Individu Lelaki dan Perempuan, Bawah 11 Tahun Beregu Lelaki dan Perempuan, Bawah 13 Tahun Individu Lelaki dan Perempuan serta Bawah 13 Tahun Beregu Lelaki dan Perempuan.

"Saya berharap menerusi kejohanan ini, ia dapat melahirkan seorang lagi Lee
Chong Wei pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment