My Add

Saturday 8 December 2012

Agong selamat pulang selepas lawatan negara ke Indonesia

SEPANG, SABTU, 08 Disember, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah selamat pulang ke tanah air hari ini selepas menamatkan lawatan negara empat hari ke Indonesia.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka serta rombongan tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 12.35 tengah hari.

Ketibaan pulang Seri Paduka berdua disambut Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Aturcara Seri Paduka dalam lawatan itu termasuk mengunjungi Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara yang terletak di Jakarta Pusat; menghadiri majlis Santapan Malam Negara dihos oleh Presiden Yudhoyono dan Ibu Ani Yudhoyono di Istana Negara.

Ketika di Jakarta, baginda melahirkan harapan agar Malaysia dan Indonesia melibatkan diri secara lebih aktif dalam menjana program kerjasama bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala selain berkeyakinan komitmen bersama dapat diteruskan demi kemakmuran bersama dan kestabilan serantau.

Seri Paduka juga berpuas hati dengan usaha kerajaan Malaysia dan Indonesia untuk merapat dan memperkukuhkan kerjasama politik, ekonomi dan sosio-budaya dan berharap hubungan dan kerjasama dua hala itu akan terus dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.

Seri Paduka juga mengingatkan rakyat Malaysia yang tinggal di Indonesia supaya sentiasa menjaga nama baik dan imej negara dengan mengamalkan etika kerja yang mulia serta menghormati undang-undang dan budaya tempatan.

urut menyertai rombongan Diraja itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sebagai Menteri Pengiring serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri.

Lawatan baginda ke Indonesia adalah lawatan negara ketiga selepas Brunei Darussalam pada 9 hingga 15 Mei lalu dan Jepun pada 1 hingga 5 Oktober sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-XIV pada 11 April 2012. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment