My Add

Wednesday 19 December 2012

AirAsia didenda A$200 ribu tidak masukkan cukai, caj dalam laman web

MELBOURNE, SELASA, 18 Disember, 2012: Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dikenakan denda kerana tidak memasukkan cukai dan lain-lain caj dalam laman sesawangnya.

Syarikat penerbangan itu didenda A$200,000 di Mahkamah Persekutuan Melbourne hari ini kerana melanggar peruntukan peletakan harga tunggal Undang-Undang Pengguna Australia, kata Australian Associated Press.

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia berkata kes itu berkaitan dengan tempoh 10 bulan ketika laman sesawang www.airasia.com tidak menunjukkan beberapa harga tambang penerbangan termasuk semua cukai, duti, yuran dan lain-lain caj mandatori "dalam cara yang jelas dan sebagai angka tunggal".

Denda itu membabitkan penerbangan antara Melbourne dan Macau, London, Ho Chi Minh City, New Delhi, Hangzhou dan Chengdu, serta, dari Perth ke Taipei, Phuket, Osaka, London, Ho Chi Minh City dan Hangzhou dan dari Gold Coast ke Ho Chi Minh City.

Hakim mahkamah itu berkata, melainkan harga penuh dipaparkan dengan jelas, pengguna akan tertarik kepada urus niaga yang beliau tidak akan, jika sebaliknya, rasakan menarik dan kemudian dengan rasa tidak puas hati akan terpaksa membuat bayaran penambahan daripada bersusah payah membatalkan transaksi dan mencari penerbangan lain.

Beliau berkata, syarikat itu juga akan mendapat kelebihan daripada pesaing yang mematuhi undang-undang itu.

Beliau menerima janji mahkamah daripada Air Asia Bhd menghalangnya melakukan perkara ini selama tiga tahun.
"Langkah ACCC ini mempertahankan kepentingan semua harga terangkum.

"Pengguna mesti mendapat maklumat harga yang tepat, dan syarikat penerbangan lain memerlukan persaingan yang adil bagi peletakan harga dalam industri bersaingan sengit ini yang mana pengguna sensitif tentang harga," kata pengerusi ACCC, Rod Sims kepada AAP. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment