My Add

Friday 21 December 2012

Armada AS di Asia Pasifik

WASHINGTON, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Amerika Syarikat (AS) merancang untuk menempatkan beberapa kapal perang terbaharu dan senjata berteknologi tinggi negara ini ke Asia Pasifik, sebagai sebahagian daripada strategi memindahkan kekuatan ketenteraan ke rantau itu.

Pentagon akan menghantar pesawat tempur pemusnah kapal selam P-8, peluru berpandu, kapal selam kelas Virginia, kapal penggempur pantai dan jet pejuang F-35 ke pelabuhan dan pangkalan AS di Asia dalam tempoh beberapa tahun akan datang, menurut seorang pegawai kanan pertahanan AS.

"Penempatan ini adalah sebahagian daripada usaha besar yang menyaksikan rantau Asia Pasifik akan memperolehi sistem senjata terbaharu terlebih dahulu," katanya yang enggan dikenali.

Pentagon memberi tumpuan kepada Asia selepas sedekad terlibat dengan perang di Afghanistan dan Iraq, kesan daripada peningkatan kuasa tentera China dan tindakan agresif negara itu berhubung pertikaian wilayah dengan negara jiran.

AS sebelum ini merancang untuk menempatkan lebih daripada separuh armadanya ke Asia Pasifik dan menghantar kapal penggempur pesisir pantai ke Singapura.

Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta berkata, pesawat senyap F-35 yang kini masih dalam pembangunan, akan ditempatkan di pangkalan udara Iwakuni di wilayah Yamaguchi, Jepun menjelang 2017.

Washington juga bakal memberikan Jepun sebuah radar berkuasa, X-band bagi meningkatkan pertahanan peluru berpandu negara sekutunya itu, tindakan yang diumumkan pada September lalu.

Vietnam, Filipina dan beberapa negara Asia Tenggara lain yang terlibat dengan pertikaian wilayah maritim di Laut China Selatan dengan China telah berusaha meningkatkan hubungan ketenteraan dengan AS bagi mengimbangi pengaruh Beijing. - AFP

No comments:

Post a Comment