My Add

Sunday 16 December 2012

AUG 2012: Skuad terjun sapu bersih pingat emas

VIENTIANE, SABTU 15 Disember, 2012: Skuad terjun negara mencapai sasaran apabila menyapu bersih empat pingat emas dan menggondol dua perak pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG 2012) yang berakhir di Pusat Akuatik Kompleks Nasional di sini.

Di kolam renang hari ini, Cheong Jun Hoong merangkul pingat emas dalam acara 3m papan anjal wanita dengan catatan mata 340.05, dan menewaskan rakan sepasukannya Ng Yan Yee ( pingat perak) dengan catatan 312.40 mata.

Pingat gangsa disandang oleh Sari Ambarwati Suprihatin dari Indonesia dengan catatan mata 253.85.

Sebelum ini, penerjun Olimpik negara yang menyumbang tiga pingat emas adalah Leong Mun Yee dan Bryan Nickson Lomas.

Mun Yee menyumbang dua pingat emas dalam acara 1m papan anjal wanita dan 10m platform wanita manakala Bryan meraih pingat emas dalam acara 1m papan anjal lelaki.

Selain Yan Yee, Jun Hoong turut menyumbang pingat perak dalam acara 1m papan anjal wanita.

Pengurus pasukan Ariffin Mohamed Yusof berkata beliau sangat berpuas hatidengan komitmen yang diberikan oleh atlet apabila sasaran empat pingat emas tercapai pada acara selama tiga hari sejak Khamis lepas.

Olahraga sumbang empat emas

VIENTIANE: Atlet negara Nurul Sarah Abdul Kadir melakar kejayaan apabila menjadi wanita terpantas dalam acara olahraga Sukan Universiti ASEAN (AUG 2012) yang membuka tirai di Stadium Kompleks Sukan Nasional, di sini, hari ini.

Nurul Sarah meraih pingat emas dalam acara 100m dengan catatan 12.14s, menewaskan pemenang pingat emas Sukan SEA, Palembang 2011, Unani Serafi dari Indonesia yang hanya meraih pingat gangsa dengan catatan 12.34s.

Pingat perak disandang oleh Pimpika Kannikom dari Thailand dengan perbezaan masa 0.01s di belakang Nurul Sarah.

Selain Nurul Sarah, olahraga turut menyumbang tiga lagi pingat emas menerusi Jackie Wong Siew Cheer (baling tukul besi), Mohd Arif Zulhilmi Alet (400m lelaki) dan Mohd Hakimi Ismail dalam acara lompat kijang.

Wong meraih emas pertama bagi olahraga dengan jarak 52.84m, mengatasi atlet Thailand Patipan Sangsing dengan catatan 49.50m. Pingat gangsa disandang oleh Tan Nhanh Trinh dari Vietnam dengan catatan 46.97m.

Selain empat pingat emas, skuad olahraga negara turut menyumbang tiga pingat perak menerusi Mohd Noor Imran Hadi bagi acara 100m lelaki, S.Kannathasan (400m lelaki) dan Mohd Amar Fitri Zainol dalam acara lompat kijang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment