My Add

Tuesday 25 December 2012

Banjir di Terengganu semakin buruk

KUALA TERENGGANU, SELASA, 25 Disember, 2012: Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila seramai 4,553 mangsa di seluruh negeri ini dipindah dan ditempatkan di 85 buah pusat pemindahan di daerah masing-masing sehingga pukul 12 tengah hari ini.

Daerah Besut mencatatkan bilangan mangsa banjir paling ramai iaitu 1,096 orang melibatkan 243 keluarga berbanding semalam seramai 101 penduduk daripada 26 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata, daerah kedua tertinggi ialah Hulu Terengganu melibatkan seramai 1,052 mangsa daripada 249 keluarga berbanding semalam hanya 26 penduduk melibatkan enam keluarga.

Mangsa di daerah Dungun pula semakin meningkat daripada semalam apabila mencatatkan seramai 744 orang daripada 186 keluarga berbanding semalam seramai 317 penduduk melibatkan 80 keluarga.

Ia diikuti daerah Setiu seramai 717 mangsa daripada 193 keluarga manakala daerah Kemaman mencatatkan jumlah penduduk seramai 611 orang melibatkan 189 keluarga.

Bagi daerah Marang pula seramai 242 orang daripada 60 keluarga telah diarah berpindah dan diikuti daerah paling sedikit terjejas, Kuala Terengganu seramai 91 mangsa melibatkan 25 keluarga dengan satu pusat pemindahan sahaja dibuka iaitu di Sekolah Tanjung Gelam.

Di Kelantan semakin pulih

Dari KOTA BHARU, dilaporkan kKeadaan banjir di negeri ini agak pulih apabila jumlah mangsa yang masih berada di 35 buah pusat pemindahan di seluruh negeri ini mencatatkan penurunan daripada 2,281 orang semalam kepada 1,100 sehingga pukul 1 petang ini.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kelantan ketika dihubungi berkata, ia ekoran cuaca yang agak baik sejak awal pagi ini.

Namun, pihaknya sentiasa berwaspada kemungkinan keadaan menjadi bertambah buruk sekiranya hujan kembali lebat pada petang ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment