My Add

Friday 14 December 2012

Bicara kes Kugan ditangguh Isnin

KUALA LUMPUR, khamis, 13 Disember, 2012: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes saman kecuaian yang difailkan ibu A.Kugan, lelaki yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis, ke 17 Disember ini.

Hakim Datuk V.T.Singham memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam R.L.Bani Prakash yang memaklumkan bahawa peguam R.Sivarasa yang mewakili N.Indra (ibu Kugan) mengalami masalah kesihatan.

Bani Prakash berkata Sivarasa kini dirawat di wad Pusat Perubatan Subang Jaya setelah pengsan di rumahnya semalam.

Sivarasa sepatutnya menyoal balas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

Hakim Singham berkata sekiranya pada 17 Dis Sivarasa masih tidak dapat hadir ke mahkamah dan menyoal saksi, peguam lain perlu menggantikannya.

"Sekiranya Sivarasa tidak dapat hadir, peguam lain yang turut mewakili plaintif (Indra) perlu ambil alih untuk teruskan kes kerana kes ini didaftarkan pada Januari lalu. Ia harus diselesaikan secepat mungkin. Mahkamah tidak boleh menangguhkan lagi. Kes ini adalah kes kepentingan awam," katanya.

Selain itu, Hakim Singham membenarkan defendan kedua iaitu bekas anggota polis V.Navindran (yang didapati bersalah mengakibatkan kecederaan kepada Kugan) untuk tidak hadir ke mahkamah pada prosiding akan datang setelah mempertimbangkan keadaannya yang perlu mengambil cuti serta menanggung sendiri kos perbelanjaan.

Beliau berkata Navindran yang telah selesai memberi keterangan hanya akan dipanggil ke mahkamah apabila terdapat permohonan daripada pihak plantif dan defendan.

Pada 13 Januari lalu, Indra memfailkan saman dengan menamakan Khalid sebagai defendan pertama, Navindran sebagai defendan kedua diikuti bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, Ketua Polis Negara dan kerajaan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Indra mendakwa kesemua defendan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anaknya semasa dia dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Januari 2009.

Ketika ditahan, Kugan berusia 23 tahun adalah suspek kes curi kereta mewah.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment