My Add

Saturday 15 December 2012

ECER perkukuh kedudukan

Oleh HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA, JUMAAT, 14 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaburan sebanyak RM37 bilion dan hampir 30,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sehingga bulan lalu.

Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah itu, kira-kira RM12 bilion berjaya dicatatkan pada tahun ini melebihi sasaran asal pelaburan sebanyak RM10 bilion.

Katanya, pelaburan tahun ini itu disumbangkan oleh sektor pelancongan (27 peratus), logistik (37.5 peratus), pembuatan (16.8 peratus), hartanah (10.4 peratus) dan pertanian (8.3 peratus).

''Saya berasa bangga dengan transformasi di ECER yang terus menunjukkan kemajuan memberangsangkan dari segi kemasukan pelaburan, pelaksanaan projek dan peningkatan sosio-ekonomi dalam kalangan penduduk tempatan.

''Di samping itu, ECER telah berjaya memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi sektor teknologi tinggi seperti bioteknologi, berdasarkan kemasukan para peneraju industri bertaraf global ke wilayah koridor itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang diedarkan selepas mempengerusikan mesyuarat ECER di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John.

Menurut Perdana Menteri, sehingga kini kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2.6 bilion bagi melaksanakan 80 projek dan program berimpak tinggi di ECER di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan (RMK-10).

''Antara lain meliputi projek infrastruktur seperti pembinaan dan penaiktarafan jalan raya dan loji rawatan air di wilayah itu serta program pembangunan sosial yang bertujuan meningkatkan pencapaian akademik dan pendapatan penduduk ECER," katanya.

Menyentuh Taman Industri Malaysia-China di Kuantan (MCKIP), beliau menyifatkan projek di kawasan seluas 685 hektar di Bandar Pelabuhan Kuantan itu mampu menarik pelaburan sebanyak RM7.5 bilion dan mewujudkan 5,500 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Katanya, projek yang diberikan status Taman Industri Bertaraf Nasional itu akan dibangunkan oleh sebuah syarikat usahasama antara konsortium dari Malaysia dan China.

''Kerja-kerja tanah untuk projek itu telah dimulakan September lalu dan perasmian pecah tanah akan diadakan pada suku pertama tahun depan," katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan penjenamaan semula Kelompok Industri Minyak Sawit (POIC) di Gebeng kepada Taman Bio Bersepadu Kuantan.

Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan objektif ECERDC untuk menggalakkan aktiviti berkaitan bioteknologi berasaskan biojisim kelapa sawit di taman perindustrian tersebut.

''Bersama-sama dengan Taman Biopolimer Kerteh di Terengganu, Taman Bio Bersepadu Kuantan dijangka terus mengukuhkan kedudukan ECER dalam sektor bioteknologi negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment