My Add

Wednesday 12 December 2012

Gaya hidup hakim tidak terbuka - Syed Ahmad Helmy

PUTRAJAYA, SELASA, 11 Disember, 2012: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang bersara wajib mulai esok menyifatkan karier sebagai hakim menjadikannya hidup dalam suasana yang tidak terbuka kepada masyarakat.

Beliau yang menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada usia persaraan 66 tahun menyatakan, kehidupan seperti itu wajar bagi mengelakkan salah tanggapan masyarakat yang boleh menjejaskan nama baik institusi kehakiman.

''Gaya hidup sedemikian merupakan satu ciri seorang hakim yang tidak mengizinkan mereka terlalu terbuka kepada masyarakat,'' ujar Syed Ahmad Helmy di kamar beliau di Istana Kehakiman hari ini.

Beliau ditanya mengenai gaya hidup sebagai hakim ketika diwawancara sempena persaraannya selepas berkecimpung dalam bidang undang-undang selama 41 tahun.

Anak kelahiran Singapura itu turut mencuit hati sekumpulan wartawan yang hadir apabila menyatakan cita-citanya sewaktu kecil adalah untuk menjadi kerani.

Menurut beliau, 'impian kanak-kanaknya' itu tidak kesampaian apabila permohonan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pentadbiran perniagaan ditolak kerana mata pelajaran Matematiknya tidak begitu baik.

Hakim tersebut yang diterima masuk sebagai pengamal undang-undang oleh Mahkamah Tinggi Malaya turut berpengalaman luas mengendalikan kes-kes litigasi.

Menurut Syed Ahmad Helmy, beliau bertindak mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dalam kes saman terhadap Syed Hussein Al-Attas berhubung buku tulisannya, Siapa Lawan Siapa.

Buku itu membuat tuduhan mengenai peranan Musa dalam Peristiwa Memali. Mahkamah mendapati tuduhan tersebut adalah fitnah dan Syed Hussein diperintah membayar ganti rugi RM1.9 juta.

Kariernya dalam bidang kehakiman bermula apabila dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 1 Jun 2000. Beliau selanjutnya dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi sehingga dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober 2009.

Dalam pertemuan itu, Syed Ahmad Helmy yang baru pulang daripada mengerjakan umrah bersama keluarga menyatakan beliau mahu berehat seketika sebelum kembali berkhidmat memberikan nasihat guaman. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment