My Add

Monday 10 December 2012

Individu miliki rokok seludup akan jadi kesalahan: Liow

PUTRAJAYA, ISNIN, 10 Disember, 2012: Memiliki rokok seludup akan menjadi suatu kesalahan apabila Kementerian Kesihatan menerima pakai pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau yang dijangka berkuatkuasa pada suku pertama tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kementeriannya sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan termasuk orang awam sebelum memuktamadkan cadangan pindaan terbabit.

"Rokok haram membanjiri pasaran tempatan dan ketika ini kerajaan hanya mengambil tindakan terhadap pengeluar rokok tiruan dan penjual rokok seludup.

"Berikutan pindaan ini, tindakan boleh dikenakan terhadap mereka yang memiliki rokok seludup ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Liow menyaksikan majlis menandatangani kontrak usaha sama antara dua syarikat Malaysia - OSA Niaga Sdn Bhd dan Straits Orthopaedics Sdn Bhd., dengan Naton Medical Group, sebuah syarikat China yang terbabit dalam bidang pembuatan produk ortopedik.

Liow berkata, kerajaan sudah melaksanakan beberapa mekanisme seperti meletakkan amaran grafik dan harga minimum pada kotak rokok bagi memudahkan mengenalpasti rokok haram.

"Sebaik sahaja pindaan peraturan itu diluluskan, kita akan menghantar surat pekeliling kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Jabatan Kastam supaya kita boleh memantau dan menguatkuasakan peraturan ini secara bersama," katanya. 

Liow baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata kandungan tar, nikotin dan karbon monoksida dalam setiap batang rokok yang dijual di Malaysia akan dikurangkan pada September tahun depan dan akan terus dikurangkan pada tahun berikutnya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment