My Add

Saturday 15 December 2012

Karpal ulangi sokongan Anwar jadi PM

*KARPAL Singh menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis pembukaan Kongres Kebangsaan DAP ke-16.

GEORGETOWN, SABTU, 15 Disember, 2012: Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini mengulangi sokongannya kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri jika pembangkang menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.

"Apabila kami menang dan tawan Putrajaya, kami dalam DAP akan memberi kerjasama untuk tentukan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri," katanya pada ucapan perasmian Kongres Kebangsaan DAP kali ke-16, di Penang International Sport Arena (PISA) di sini hari ini.

Pendirian beliau itu nyata bertentangan dengan resolusi Pas baru-baru ini yang memilih presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai perdana menteri jika pakatan pembangkang dipilih menjadi kerajaan baharu Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Pas akan menjadi sekutu penting dalam pakatan pembangkang, meskipun mereka (Pas) mungkin mempunyai prinsip yang berbeza.

Antara pemimpin pembangkang yang hadir pada perasmian kongres itu ialah Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman.

Ahli politik berusia 72 tahun itu turut mengingatkan perwakilan supaya tidak memandang rendah dan melupai sumbangan golongan veteran terhadap kemajuan parti itu.

"Kita tidak seharusnya lupa bahawa kita mencapai kegemilangan disebabkan pemimpin terdahulu. Jangan lupakan golongan veteran. Jangan pandang rendah kepada kuasa golongan veteran," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment