My Add

Friday 21 December 2012

Kerajaan Pas Kedah perlu bertanggungjawab

KUBANG PASU, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Kerajaan Pas Kedah perlu bertanggungjawab ke atas ancaman bencana alam di negeri ini ekoran kesan pembalakan tidak terkawal terutama di kawasan tadahan air.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyifatkan kerajaan negeri tidak melakukan perancangan terperinci ketika menjalankan aktiviti meneroka hutan di beberapa daerah sehingga boleh mengakibatkan negeri ini diancam bencana alam.

Katanya, demi kesejahteraan rakyat negeri ini kerajaan negeri perlu memperbetulkan perkara berkenaan sebelum bencana lebih dahsyat menimpa.

"Saya tahu sesetengah kerajaan negeri membuka kawasan pembalakan, tetapi kalau balak bersaiz kecil yang tidak patut ditebang dikekalkan, jadi tidaklah membawa kesan serta menghakis sehingga botak kawasan itu.

"Yang ini tindakan yang sepatutnya dibuat oleh kerajaan negeri. Bagaimana mereka hendak betulkan perkara itu saya tidak tahu. Tetapi kalau itu terus berlaku, kesannya adalah kemusnahan alam sekitar dan banjir teruk akan berlaku serta tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama penjawat awam Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok di sini hari ini sebagai mengulas mengenai aktiviti pembalakan di negeri ini.

Utusan Malaysia menerusi siri laporan khas mendedahkan bahawa Kedah kini berdepan dengan ancaman bencana alam, khususnya banjir lumpur dalam skala besar ekoran pembalakan berleluasa di kawasan tadahan air.

Muhyiddin menambah, aktiviti meneroka hutan itu mungkin dilakukan kerana pendapatan kerajaan negeri kecil akibat tidak mempunyai sumber-sumber lain dan tidak mampu membiayai banyak pembangunan.

Atas sebab itu kata Timbalan Perdana Menteri, kerajaan Pas Kedah mengambil kesempatan menebang balak untuk menjana pendapatan negeri.

"Tetapi cara mereka menguruskan penebangan itu sebegitu rupa. Yang saya baca dalam akhbar dan saya dapat laporan kesannya menyebabkan hutan hampir botak.

"Kalau dibiarkan begitu kita tahulah kesan kepada alam sekitar cukup teruk yang mana bukan sahaja hakisan tetapi nanti akan berlaku banjir kerana kawasan itu mungkin sebahagian kawasan tadahan air.

"Jika terus dibiarkan begitu dengan tidak ada usaha-usaha tertentu, ia akan menimbulkan masalah," katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas tentang pertemuannya dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Kedah sebelum itu, beliau telah memberi tempoh sebulan untuk BN Kedah mengemas kini keadaan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam usaha mengembalikan negeri ini ke tangan parti.

"Matlamat BN adalah menebus semula kekalahan kita pada 2008. Daripada tinjauan setakat ini sudah ada satu kesedaran dalam kalangan rakyat untuk bagi sokongan kepada BN.

"Tumpuan adalah kepada jentera parti di mana sokongan ini akan diterjemahkan bila sampai pilihan raya ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment