My Add

Tuesday 4 December 2012

Konsortium niaga di Arab Saudi

JEDDAH, ISNIN, 03 Disember, 2012: Majlis Perniagaan Malaysia (MBC) di Arab Saudi mencadangkan penubuhan satu konsortium untuk memudahkan syarikat dan rakyat Malaysia memasuki negara itu untuk memulakan perniagaan.

Naib Pengerusinya, Datuk Dr. Azmi Omar berkata, berdasarkan pemerhatiannya di sini, syarikat-syarikat Malaysia berpotensi besar dan mempunyai kekukuhan untuk melakukan perniagaan dan dihormati.

"Sebab itu, kami berbincang dengan Matrade mengenai cara-cara untuk membawa masuk syarikat-syarikat Malaysia di sini. Ini adalah cadangan dan kami berharap kerajaan akan mengkajinya," katanya kepada Bernama selepas membentangkan pelan dan kemajuan MBC itu kepada Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.

Ali sedang melakukan lawatan empat hari ke Arab Saudi.

Selain itu, Azmi berkata, Arab Saudi kini sedang melaksanakan banyak projek infrastruktur dan mereka juga tidak mempunyai masalah mendapatkan pembiayaan.

"Mereka sedang melakukan pembangunan pendidikan, minyak dan gas dan banyak lagi projek, sekali gus mewujudkan banyak peluang perniagaan," katanya.

MBC ditubuhkan pada 2009 dan kini lembaga itu diwakili oleh lima anggota exco dan 15 kaunselor di dalam bidang perkhidmatan kewangan, pembangunan hartanah, pembinaan, dagangan dan perkhidmatan lain.

Azmi berkata, MBC bermatlamat memudahkan rakyat Malaysia melakukan perniagaan di sini, yang berhadapan dengan keadaan yang mereka tidak biasa dan cabaran untuk memulakan perniagaan unik dari negara lain di Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Katanya, MBC akan bekerja sama dengan Matrade dan mengadakan mesyuarat sebulan sekali dengan Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah.

"Sebelum ini, kita tiada majlis ini dan banyak perniagaan dari Malaysia memasuki negara ini secara individu. Sebagai contoh, kerajaan Korea dan China datang ke sini untuk melakukan perniagaan dan mewujudkan satu konsortium.

"Jika kita datang sebagai satu usahasama seperti konsortium di bawah payung kerajaan, bagi perniagaan Malaysia adalah lebih cerah," katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment