My Add

Tuesday 4 December 2012

Lawatan negara Agong serlah hubungan akrab Malaysia-Indonesia

JAKARTA, ISNIN, 03 Disember, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah tiba di sini, hari ini bagi memulakan lawatan negara ke Indonesia, yang sekaligus memperlihat hubungan akrab dan istimewa antara Malaysia dan Indonesia.

Ia adalah lawatan negara yang pertama oleh Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ke Indonesia sejak baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-14 pada 11 April lalu.

Lawatan baginda ke Indonesia ini juga adalah lawatan negara ketiga selepas Brunei Darussalam pada 9 hingga 15 Mei dan Jepun pada 1 hingga 5 Oktober.

Hamparan permaidani merah dari tangga pesawat terbentang menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur.

Keberangkatan Seri Paduka berdua disambut Menteri Luar Negeri Indonesia, Marty Natalegawa dan isterinya, Sranya Natalegawa serta Menteri Pengiring dari Indonesia, Dr Salim Segaf Al Jufri, yang juga Menteri Sosial Indonesia berserta isteri beliau.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sebagai Menteri Pengiring dari Malaysia, yang ditemani isteri beliau.

Turut menyambut baginda berdua ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan isteri beliau.

Mengikut jadual esok, Yang di-Pertuan Agong akan diberi sambutan negara dengan istiadat ketenteraan di Istana Merdeka, Jakarta Pusat, yang menempatkan pejabat Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Pasangan Diraja Malaysia itu akan kemudian mengadakan pertemuan dengan Presiden Yudhoyono dan Ibu Negara Ibu Ani Yudhoyono, sebelum baginda berdua diraikan pada Jamuan Santapan Malam Negara di Istana Negara.

Lawatan Yang di-Pertuan Agong ke Indonesia pada kali ini menjadi lebih signifikan kerana secara kebetulan ia mengawali program tahunan kerajaan kedua-dua negara dalam usaha merapatkan dan memperkukuhkan lagi kerjasama politik, ekonomi dan sosiobudaya, dalam kerangka hubungan dua hala.

Ia kerana, dalam masa kira-kira dua minggu lagi, Presiden Yudhoyono akan berkunjung ke Malaysia bagi menghadiri acara rundingan tahunan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dijadualkan pada 18 Disember, di Putrajaya.

Setiap tahun, Malaysia dan Indonesia secara bersilih ganti menjadi tuan rumah kepada acara rundingan tahunan ini, iaitu pertemuan peringkat ketua kerajaan kedua-dua negara bagi mengembangkan lagi hubungan kerjasama selain mencari penyelesaian kepada isu-isu dua hala yang sekali sekala mengganggu hubungan.

Bagaimanapun, hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Indonesia, yang sentiasa mengutamakan pendekatan perundingan sebagai kaedah penyelesaian, sehingga ini telah mampu menguruskan isu-isu dua hala dengan baik.

Setakat ini, hubungan baik ini membolehkan Malaysia dan Indonesia meneruskan komitmen dalam kerjasama di masa depan untuk kemakmuran bersama dan kestabilan di rantau ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment