My Add

Tuesday 18 December 2012

Mekanik dera anak tiri tidak dibenar diikat jamin

KLANG, SELASA, 18 Disember, 2012: Mahkamah Majistret di sini tidak membenarkan ikat jamin terhadap seorang mekanik yang dituduh mendera anak tirinya berumur tiga tahun demi keselamatan mangsa yang tinggal bersama tertuduh.

Majistret Suhaima Mohd Noor kemudian menetapkan 15 Januari depan untuk sebutan semula kes ke atas T. Rajasegaran, 32, dari Kapar di sini yang mengaku tidak bersalah menganiaya kanak-kanak lelaki itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah rumah di Kapar, kira-kira 12.30 tengah hari pada September lepas.

Kes itu adalah rentetan kejadian dera terhadap mangsa menggunakan senduk nasi dan acuan maruku, yang disebarkan melalui laman Facebook baru-baru ini.

Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum yang mengendalikan pendakwaan membantah ikat jamin diberikan kepada tertuduh atas alasan mangsa tinggal bersama lelaki itu.

Rajasegaran yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah membenarkannya diikat jamin atas alasan dia menanggung dua orang isteri yang tidak bekerja serta empat anak berumur antara lima tahun ke lapan bulan.

Tertuduh berkata isteri keduanya juga sedang mengandungkan anak kelimanya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mangsa merupakan anak kepada isteri kedua tertuduh. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment