My Add

Tuesday 25 December 2012

Pelaburan terus meningkat

 PROJEK MRT

KUALA LUMPUR, ISNIN, 24 Diseember, 2012: Pakar ekonomi mengunjurkan lebih banyak pelaburan modal akan memasuki ekonomi Malaysia tahun depan berdasarkan projek semasa yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia bagi Malaysia, Dr. Frederico Gil Sander berkata, sebahagian besar projek itu membabitkan sektor minyak dan gas (O&G), infrastruktur serta hartanah.

"Projek utama dalam sektor O&G termasuk projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia dan Penapisan (Rapid) bernilai RM60 bilion di Pengerang, Johor dan Projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) bernilai RM3.8 bilion di Kimanis," katanya.

Beliau berkata, minat pelabur juga dirangsang oleh kemajuan dalam sektor infrastruktur dan hartanah, seperti projek MRT bernilai berbilion ringgit, Jambatan Kedua Pulau Pinang bernilai RM4.45 bilion serta pembinaan Tun Razak Exchange berjumlah RM26 bilion.

"Pelaburan ini berkait langsung dan tidak langsung dengan peningkatan berstruktur harga komoditi sejak enam atau tujuh tahun lepas. Cabaran untuk Malaysia melangkah ke depan ialah memastikan pelaburan dalam sektor bukan komoditi seperti pembuatan dan perkhidmatan berintensif pengetahuan, turut meningkat.

"Mengenai pelaburan portfolio, kami menjangkakan alirannya turun naik memandangkan ia bergantung kepada sentimen pelabur asing, yang dijangkakan beralih berikutan pendekatan dan peralihan semula negara-negara daripada pelbagai "jurang dasar." Sebagai contoh, jurang fiskal Amerika Syarikat atau isu hutang yang tertangguh di zon Eropah," katanya.

Bagaimanapun, Gil Sander berkata, dalam jangka panjang Malaysia akan terus menjadi destinasi menarik untuk pelabur portfolio asing berdasarkan potensinya untuk mencatat pertumbuhan purata yang lebih tinggi dan menyediakan reformasi struktur yang sedang pesat dilaksanakan.

Sementara itu, Ketua ekonomi RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah Kim Leng berkata, unjuran iklim pelaburan dan ekonomi akan menyokong aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) korporat berikutan sentimen pelabur dalam pasaran ekuiti dan hutang dijangkakan terus rancak.

Penyedia penyelidikan kredit bebas utama itu berkata, proses M&A yang dirancang tahun depan akan direalisasikan oleh syarikat yang memiliki tunai yang besar dan sentiasa mencari potensi untuk meluaskan kedudukan serta memperoleh kelebihan strategik, di peringkat tempatan dan serantau.

"Ini sebahagiannya bagi merebut peluang besar hasil pewujudan pasaran tunggal dalam Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang 2015," katanya.

Yeah berkata, aktiviti M&A korporat di Malaysia bertahan pada paras yang sihat tahun ini.

"Hanya berlaku sedikit penurunan iaitu 18 peratus dalam jumlah urus niaga kepada 244 tahun ini berbanding 250 tahun lepas.

M&A utama pada 2012 ialah Petroliam Nasional Bhd yang mengumumkan pengambilalihan AS$5.8 bilion Progress Energy Resources Corp. Kanada, manakala Genting Bhd. menarik perhatian apabila merancang melancarkan kasino berharga AS$4 bilion di Aqueduct Racetrack, New York dan satu lagi projek besar di Miami.

Dalam sektor perladangan, Felda Global Ventures Holdings Bhd. yang merupakan tawaran awam permulaan terbesar di sini tahun ini, dijangka menggunakan AS$3.3 bilion yang dikumpulkannya untuk membeli aset pertanian di seluruh dunia.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment