My Add

Saturday 15 December 2012

PM ziarah dua keluarga penerima rumah veteran tentera

KUALA KANGSAR, SABTU, 15 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengunjungi dua keluarga veteran tentera, penerima rumah yang dibina di bawah Strategi Lautan Biru Ketujuh (NBOS7) melalui program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP).

Perdana Menteri diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menaiki bas untuk menziarahi penerima pertama di bawah program berkenaan iaitu bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mior Mohd Shabron Mansurudin, di Kampung Talang Hulu di sini.

Ketibaan Perdana Menteri disambut mesra Mior Mohd Shabron, 56, dan anggota keluarga bersama-sama penduduk kampung yang menunggu sejak awal pagi yang tidak mahu melepaskan peluang melihat dengan dekat pemimpin utama kerajaan itu.

Najib meluangkan masa hampir 15 minit untuk bertanya khabar dan beramah mesra dengan keluarga veteran TUDM itu dan penduduk kampung selain menandatangani plak perasmian rumah.

Perdana Menteri kemudian berkunjung ke rumah penerima kedua iaitu bekas anggota Tentera Darat, Sapwan Mohamad Salleh yang dijaga oleh anak perempuannya Shaparina, 42, dan menantunya Sabri Ishak, 45, sejak menghidapi penyakit Parkinson sejak 2004.

Mior Mohd Shabron yang menamatkan perkhidmatan di 10 Skuadron, TUDM Kuala Lumpur pada 1997 menyifatkan kunjungan Najib ke rumah baharu yang mempunyai tiga bilik tidur serta dua bilik air itu sebagai satu sejarah untuk dirinya dan keluarga.

"Terima kasih meluangkan masa untuk keluarga saya dan penduduk kampung. Hampir dua minggu saya tak lena tidur, gembira dapat melayan tetamu yang datang ke rumah. Saya bersyukur dengan program ini saya dapat rumah yang lebih selesa. Selama ini saya tinggal di rumah pusaka yang agak usang," katanya.
 
Bapa tujuh anak berusia antara 28 dan 15 tahun itu juga melahirkan rasa syukur kerana anak keempat menjejaki langkahnya menjadi anggota tentera dan kini berkhidmat sebagai jurutera tentera.

Sapwan, 64, yang mengakhiri khidmatnya di Kor Perkhidmatan Sajian di Kem 6 Briged, Sungai Petani, Kedah pada Mei 1988, turut melahirkan rasa terharu dan gembira dengan kehadiran perdana menteri ke rumah barunya itu.

"Saya tinggal dengan anak sulung dan menantu. Saya sangat terharu dan gembira bila diberitahu perdana menteri akan datang ke rumah lawat saya dan keluarga," katanya yang kematian isteri pada 2008 akibat kanser payu dara.

Beliau yang menerima wang pencen berjumlah RM820 sebulan itu memberitahu sebelum ini beliau dan keluarganya tinggal di rumah pusaka dan kemudiannya terpaksa menyewa sebuah rumah di Lubuk Merbau selepas rumah pusaka itu hangus dalam kebakaran pada Mei 2010.

Rumah barunya di Kampung Talang Masjid yang siap dua hari lepas adalah hasil keprihatinan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan kerajaan untuk membela nasib veteran tentera yang memerlukan, katanya.

Kedua-dua rumah siap dalam tempoh sebulan dan masing-masing bernilai RM40,000 itu dibina oleh kira-kira 40 anggota tentera daripada Regimen Askar Jurutera Diraja, Taiping dekat sini.

Najib kemudian melancarkan 1MVRP di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford di sini di mana program itu antara inisiatif di bawah NBOS7 yang diperkenalkannya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment