My Add

Sunday 16 December 2012

PTD masih relevan, diperlukan kerajaan



 *DR Mahathir Mohamad memotong kek hari jadinya pada Majlis Makan Malam
 Alumni PTD di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut hadir, 
Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Mohd, Shafie Apdal, Dr. Sallehuddin Mohamed,
 dan Dr. Mohd. Ghazali Mohd. Noor (kiri).

KUALA LUMPUR, SABTU, 15 Disember, 2012: Pengalaman, kemahiran, kecekapan serta pandangan bekas Pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) masih lagi relevan dan diperlukan oleh kerajaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, hal itu demikian kerana kemajuan dan pembangunan pesat yang dikecapi negara hari ini adalah daripada jasa dan bakti pegawai PTD terdahulu.

"Negara kita tidak akan maju jika jentera pentadbiran lemah, tidak cekap, tidak jujur dan tidak berdisiplin.

"Rakyat perlu bersyukur kerana di Malaysia jentera pentadbirannya mampu dan sentiasa dapat melaksana urusan pembangunan negara dengan baik dan berhasil," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Alumni PTD di sini malam ini.

Yang turut hadir, bekas-bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dan Presiden PTD Alumni, Datuk Seri Sallehuddin Mohamed.

Mohd. Shafie berkata, pembangunan sesebuah negara bukan hanya setakat bergantung kepada sumber alam semata-mata tetapi bergantung kepada kepimpinan yang berwawasan serta sokongan perkhidmatan awam seperti PTD dan rakyat.

"Ia penting bagi menterjemahkan pembangunan sesebuah negara. Melihat kepada sejarah iaitu semasa era penjajah, selepas merdeka, keupayaan perkhidmatan awam termasuk pegawai-pegawai PTD dalam membangunkan negara cukup bermakna.

"Banyak perubahan yang telah dilakukan. Kampung-kampung juga sudah berubah menjadi pekan dan bandar dan ini hasil kerja profesional perkhidmatan awam. Kita juga memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur. Jepun menjadi rujukan pembangunan kita," ujarnya.

Beliau memberitahu, dasar itu akan menjadi kenyataan jika sistem penyampaian khususnya dalam perkhidmatan awam memiliki keupayaan luar biasa dan peranan mereka diperlukan untuk memastikan kelangsungan kekuatan kerajaan sedia ada.

Sementara itu, dalam majlis tersebut Mohd. Shafie menyaksikan penyerahan sumbangan RM10,000 daripada PTD Alumni kepada Rumah Anak Yatim Al-Amin, Telok Intan, Perak.

Majlis itu turut meraikan ulang tahun kelahiran ke-87 Dr. Mahathir. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment