My Add

Tuesday 4 December 2012

Rapid Kuantan untuk rakyat nikmati sistem pengangkutan lebih cepat


*ADNAN Yaakob diberi penerangan oleh pemandu bas, Arjunaidee Abu Bakar (dua kiri) sebelum memandu bas RapidKuantan mengelilingi Bandar Kuantan selepas merasmikan perkhidmatan bas itu di Terminal Makmur, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN, ISNIN, 03 Disember, 2012: Penyediaan perkhidmatan bas Rapid
Kuantan yang dikendalikan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) adalah bertujuan membantu rakyat menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih cekap.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, Rapid Kuantan diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semata-mata untuk kemudahan rakyat.

Pengangkutan bukan satu perniagaan yang menguntungkan, tetapi kita tetap komited menyediakan perkhidmatan ini untuk membantu rakyat.

"Laluan Rapid Kuantan dari arah Kompleks Mahkamah ke Semambu tidak begitu menguntungkan, tetapi laluan dari Gambang ke Terminal Makmur dan laluan Indera Mahkota ke Teluk Chempedak boleh menyumbang kepada tanggungan kos operasi," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Rapid Kuantan di sini, hari ini.

Adnan yang mempunyai lesen memandu bas turut memandu sendiri bas Rapid Kuantan ke beberapa laluan yang turut dinaiki oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang serta orang ramai.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPNB, Datuk Shahril Mokhtar berkata, pihaknya mengambil masa dua bulan untuk melakukan persiapan Rapid Kuantan di sini.

"Pada Jun tahun depan kita akan menambah laluan perkhidmatan dan juga bilangan bas supaya penduduk di sini merasai perubahan sistem pengangkutan," katanya.

Sebanyak 32 buah bas mula beroperasi pada 1 Disember lalu meliputi tiga laluan utama bagi menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 500,000 penduduk bandar ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment