My Add

Tuesday 25 December 2012

Ringgit dijangka naik sedikit berbanding dolar AS pada 2013

KUALA LUMPUR, SELASA, 25 Disember, 2012:: Ringgit dijangka naik sedikit berbanding dolar Amerika pada tahun depan disokong oleh unjuran pertumbuhan dalam dan luar negara yang kukuh, kata penganalisis.

Alliance Research berkata, memandangkan jangkaan pertumbuhan yang mantap,
serta banyak ruang dalam dasar sekiranya berlaku kelembapan global yang tidak diduga, firma itu mengunjur ringgit meningkat sedikit kepada 2.95 berbanding dolar AS menjelang akhir 2013.

Bagaimanapun,firmaitu berkata ringgit mungkin mengalami tekanan jualan dalam jangka terdekat disebabkan oleh potensi pengaliran keluar wang panas.

"Dengan kenaikan mantap dalam pegangan ekuiti asing dan hutang kerajaan
selepas krisis kewangan global, sebarang kejutan negatif seperti ketidakpastian
politik, krisis hutang Euro dan isu fiskal AS boleh mencetuskan penghindaran risiko, membawa kepada aliran keluar dana secara tiba-tiba," kata Alliance dalam kenyataannya hari ini.

Di samping itu, firma itu berkata kadar dasar semalaman mungkin kekal, tidak
berubah pada 3.0 peratus pada 2013 memandangkan kadar inflasi yang rendah,
kerana menyaksikan risiko yang minimum dalam proses pemulihan dan dasar monetari
yang akomodatif.

Ketua Ahli Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd, Nor Zahidi Alias, berkata
mengenai masa depan, prospek jangka panjang ringgit secara amnya kekal positif
setelah ekonomi disokong oleh pelaburan yang tinggi didorong oleh projek-projek
infrastruktur.

Beliau berkata, ringgit juga akan mendapat sokongan daripada projek-projek
mega seperti MRT, Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas,
Menara Warisan serta Tun Razak Exchange.

"Penggunaan swasta yang berdaya tahan juga menyediakan tunggak yang kukuh
untuk ekonomi," katanya.

"Selain itu, saya tidak menjangka Bank Negara Malaysia bersedia untuk
melonggarkan dasar monetari melainkan jika terdapat kemerosotan yang ketara
dalam aktiviti ekonomi yang tidak merupakan senario yang mungkin pada ketika
ini."

Mengenai situasi luar, beliau berkata hasrat Rizab Persekutuan AS untuk
memastikan kadar faedah pada paras semasa sehingga kadar pengangguran jatuh
dengan ketara bermakna prospek ringgit berbanding dolar AS mungkin akan
positif dalam beberapa tahun akan datang.

"Bagaimanapun, kedudukan ringgit untuk lebih kukuh berbanding dolar AS
mungkin tidak menentu pada 2013 kerana terdapat perkembangan yang boleh secara sementara memudarkan mata wang tempatan, seperti ketidaktentuan yang pelabur asing rasakan tentang pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata aktiviti pengambilan untung sementara terutamanya dalam
pasaran ekuiti tempatan setelah kenaikan premium risiko ekuiti dan kebimbangan
pelabur tentang tahap penurunan lebihan akaun semasa, yang apabila dilihat
dengan defisit belanjawan berterusan, akan menjadi negatif kepada mata wang
tempatan.

"Sekiranya tiada aral melintang, kita melihat dagangan ringgit
dalam lingkungan RM2.95 - RM3.15 berbanding dolar AS pada 2013," kata Nor
Zahidi.

Sepanjang tahun ini, beliau berkata mata wang tempatan secara amnya mendapat
manfaat daripada persekitaran kadar faedah yang rendah di Amerika Syarikat, naik
kira-kira 3.6 peratus berbanding dolar AS pada minggu ketiga Disember daripada
nilainya pada permulaan tahun ini.

"Kelonggaran dasar kuantitatif yang dilaksanakan Persekutuan AS untuk
mengekalkan momentum ekonomi telah menyebabkan pelabur mengetepikan dolar AS dengan memilih mata wang Asia yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dan Malaysia adalah salah satu daripadanya.

"Pencarian pulangan tinggi dibuktikan oleh peningkatan dalam pegangan asing
bon kerajaan Malaysia yang melepasi tahap 40 peratus daripada jumlah tertunggak
pada tahun ini.

"Prestasi positif pada tahun ini hingga kini dalam pasaran ekuiti juga telah
menjadi faktor positif bagi ringgit," katanya.

Sementara itu, Nomura International (HK) Ltd berkata ringgit dijangka
mencapai 2.92 berbanding dolar AS tahun depan, disokong oleh aliran masuk modal
yang baik dan asas dalam dan luar negeri yang kukuh.

Ia berkata, inflasi indeks harga pengguna dijangka pada purata 2.4 peratus
pada 2013, lebih tinggi daripada 1.7 peratus tahun ini disebabkan kenaikan gaji
minimum, kos yang tinggi memberi tekanan dan pelarasan subsidi yang sederhana.

Oleh itu, Nomura berkata ia menjangka bank pusat akan mengekalkan kadar
faedah pada separuh pertama tahun depan sebelum menaikkannya sebanyak 50 mata asas kepada 3.5 peratus pada separuh kedua. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment