My Add

Wednesday 12 December 2012

Sektor awam, swasta disaran main peranan bantu OKU

 *ROSMAH Mansor bersama Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali (kiri), Dr. Aishah Ong 
(belakang dua dari kiri) dan Datuk Zaleha Omar melawat pameran Rangkaian 
Maklumat Orang Kurang Upaya (MIND) di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, SELASA, 11 DisEMBER, 2012: Sektor awam dan swasta disaran memainkan peranan dalam menyediakan kemudahan asas kepada golongan orang kurang upaya (OKU) bagi memperkasakan sumbangan mereka dalam dunia pekerjaan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, langkah yang diambil organisasi seperti Hitachi dan Epson dalam memperbaiki struktur pejabat mereka mengikut keperluan dan keselesaan golongan itu wajar dicontohi syarikat-syarikat lain di negara ini.

Keadaan itu katanya, sekali gus dapat menggalakkan lebih banyak penyertaan golongan OKU dalam organisasi dan dalam masa sama, mengubah persepsi masyarakat tentang peranan dan keupayaan kerja mereka.

"Hakikat yang perlu kita semua akui adalah pekerja OKU merupakan golongan yang produktif di tempat kerja kerana mereka dilihat cenderung berkhidmat dalam tempoh lama dan jarang terlibat kemalangan.

"Cabaran kini adalah untuk menggalakkan syarikat-syarikat di negara ini supaya bersikap terbuka dan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan OKU seperti mana yang diamalkan di negara luar," katanya.

Beliau berucap merasmikan Persidangan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti) dan Rangkaian Maklumat Orang Kurang Upaya (MIND) di sini hari ini.

Yang hadir sama Penasihat Bakti, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Pengerusi Projek Bakti-MIND, Toh Puan Dr. Aishah Ong.

Dalam masa sama, Rosmah yang juga Yang Dipertua Bakti turut mengingatkan majikan agar tidak bersikap prejudis tetapi memberi layanan yang adil dan saksama kepada golongan OKU.

"Jangan menerima mereka sebagai tanggungjawab sosial semata-mata kerana golongan ini sama pentingnya seperti kita dan mempunyai tempat serta peranan dalam pembangunan negara," katanya.

Terdahulu, Siti Hasmah dalam ucapannya berkata, projek Bakti-MIND itu merupakan satu bentuk usaha mendekatkan kumpulan sasar dalam bidang pekerjaan.

"Kita mempunyai sistem rangkaian komputer yang mampan bagi membolehkan padanan kerja dan pemantauan prestasi dilakukan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment