My Add

Wednesday 12 December 2012

IRDA sedia laksana Rangka Tindakan LCS

PUTRAJAYA, SELASA, 11 Disember, 2012: Mesyuarat Ahli-ahli Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengesahkan pelaksanaan Rangka Tindakan Masyarakat Rendah Karbon (LCS) di wilayah tersebut.

Rangka tindakan LCS itu sebelum ini dilancarkan dalam Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-18 di Doha untuk mengurangkan pengeluaran karbon sebanyak 50 peratus di Iskandar Malaysia pada 2025.

Najib berkata, pelaksanaan rangka tindakan tersebut akan membantu menarik lebih banyak pelaburan ke Iskandar Malaysia.

''Hari ini ahli-ahli IRDA mengesahkan pelancaran rangka tindakan ini dan kita percaya usaha ini akan mengukuhkan nilai Iskandar Malaysia di kalangan pelabur," kata Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan IRDA di sini.

Rangka Kerja LTS Iskandar Malaysia merupakan hasil usahasama antara Jepun dengan Malaysia yang mendapat penajaan daripada Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

Projek tersebut mengumpul penyelidik pelbagai disiplin dari Universiti Kyoto dan Universiti Okayama dari Jepun serta Universiti Teknologi Malaysia untuk mengenal pasti visi masyarakat rendah karbon dan cara mencapai matlamat itu.

Projek tersebut juga selari dengan komitmen sukarela kerajaan Malaysia untuk mengurangkan intensiti karbon di negara ini sebanyak 40 peratus menjelang 2020.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, 12 tindakan yang digariskan dalam Rangka Tindakan LTS Iskandar Malaysia akan dilaksana mulai suku pertama 2013.

''Sesetengah program perintis telah dilancar dan ini termasuk projek rendah karbon di Felda Taib Andak dan penggunaan sistem CASBEE untuk mengukur pencapaian kita.

''Kita turut berbincang dengan beberapa syarikat Jepun yang berminat untuk melaksanakan projek perintis berhubung konsep bandar pintar," katanya.

Katanya, IRDA mahu memajukan Iskandar Malaysia melalui pemfokusan kepada agenda hijau dan pembangunan persekitaran yang mapan.

''Kita percaya pengurusan bijak ke atas sumber-sumber alam merupakan aspek paling penting dalam pembangunan mapan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment